Buka puasa untuk berjimak 'helah' tak nak rasa berdosa - Dr MAZA

Hasimi Muhamad
Mei 14, 2019 21:44 MYT
DR MAZA: Mereka yang merosakkan puasa kerana berjimak pada siang hari Ramadan, maka individu terbabit wajib berpuasa dua bulan berturut-turut. -Foto Bernama
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berpendapat tindakan individu yang sengaja membatalkan puasa untuk bersama pasangan di siang hari bulan Ramadan adalah sebagai 'helah' kononnya mereka tidak melakukan dosa tersebut.
Sebaliknya, tegas Mohd Asri, perbuatan individu terbabit adalah dosa besar di sisi agama Islam.
"Siapa yang 'mengajar' individu terbabit untuk buka puasa dahulu sebelum berjimak dengan pasangan juga menanggung dosa.
"Mereka melakukan dua pencemaran (di bulan Ramadan) iaitu membuka puasa secara sengaja dan bersetubuh di siang hari, sedangkan mereka boleh melakukan perbuatan itu pada malam hari," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.
Jelasnya, puasa di bulan Ramadan adalah rukun Islam yang wajib dilaksanakan.
"Mereka yang merosakkan puasa kerana berjimak pada siang hari Ramadan, maka individu terbabit wajib berpuasa dua bulan berturut-turut. Zaman sekarang sudah tiada hamba (yang nak dibebaskan)," katanya.
Bagaimanapun, jelas Mohd Asri yang lebih dikenali sebagai Dr MAZA, mereka yang bermusafir boleh bersetubuh dengan isteri di siang hari pada bulan Ramadan kerana hukum orang bermusafir adalah harus untuknya tidak berpuasa pada hari tersebut.
"Boleh bersetubuh, makan dan minum (orang bermusafir). Begitu juga orang yang uzur (faktor kesihatan)," katanya.
Sementara itu, Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika diminta mengulas perkara itu meminta merujuk kenyataan beliau sebelum ini yang dimuat naik di laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan.
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan dalam kenyataan tersebut, bersetubuh bersama pasangan di siang hari bulan Ramadan adalah haram berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: "Telah dihalalkan buat kalian pada malam hari puasa itu untuk bersama dengan isteri kalian." (Surah al-Baqarah ayat 187)
Namun, jelas Zulkifli, pendapat dalam mazhab al-Imam Syafie adalah sebagaimana yang dikatakan oleh Imam al-Nawawi, bahawa tidak makruh untuk bercumbuan atau bermesraan dengan isteri bagi mereka yang mampu mengawal nafsu.
"Sekiranya seseorang yang kuat nafsunya mencium dan tidak keluar air mani maka puasanya tidak batal," katanya.
BACA: Sengaja batal puasa untuk berjimak?
#Berjimak di bulan Ramadan #bulan Ramadan #Dosa besar di bulan Ramadan #Dr Maza #haram #hukum-hakam islam #Islam #Mufti Perlis #Mufti Wilayah #puasa #Umat Islam
;