Buka puasa: Individu kotori tebing Sungai Kelantan boleh didenda RM1,000

Sinar Harian
Mac 28, 2023 13:45 MYT
MPKB-BRI menambah tiga tong sampah berkapasiti 240 liter di kawasan itu dan mengharapkan kerjasama orang ramai untuk menjaga kebersihan. - Gambar/ Sinar Harian
KOTA BHARU: Minggu pertama bulan Ramadan dicemari pemandangan jelik sisa sampah dan bekas makanan orang ramai yang berbuka puasa di tepi Sungai Kelantan di Lembah Sireh di sini.
Keadaan pernah berlaku sebelum ini menyebabkan rasa dukacita kepada semua pihak.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Rosnazli Amin berkata, lokasi itu diperindahkan dan menjadi tempat orang ramai beriadah namun masih ada segelintir yang tidak bertanggungjawab membuang sampah sesuka hati.
“Kita sediakan tong sampah bersaiz kira-kira 45 liter yang bersesuaian dengan taman.
“Masalah timbul apabila mereka yang berbuka puasa ini membiarkan sisa bekas makanan mereka bersepah dan tidak diikat dengan kemas sebelum diletakkan di tempat tong sampah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, pada Selasa.
Menurut beliau, pihak MPKB-BRI menambah tiga tong sampah berkapasiti 240 liter di kawasan itu dan mengharapkan kerjasama orang ramai untuk menjaga kebersihan.
“Sekiranya berterusan, pihak kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada individu yang membuat kekotoran di tempat awam mengikut Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran MPKB-BRI 2020.
“Mereka yang melakukan kesalahan boleh didenda RM1,000,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengeluarkan kenyataan tidak menggalakkan rakyat berbuka puasa di kawasan rekreasi itu kerana masalah sama. - Sinar Harian
#Sungai Kelantan #buka puasa #buang sampah #MPKB-BRI
;