Buka Parlimen: Utamakan pemulihan ekonomi, kestabilan kerajaan - Pakar
Israr Khalid
Jun 18, 2021 10:44 MYT
Jun 18, 2021 10:44 MYT
KUALA LUMPUR: Perlu dirangka pelan terperinci untuk merancakkan kembali aktiviti ekonomi negara seiring pembukaan sektor demi sektor mengikut fasa, seperti yang diumum dalam Pelan Pemulihan Negara.
Demikian pendapat peguam bela dan peguam cara, Datuk Salehuddin Saidin yang melihat pelan hanya menggariskan pembukaan semula aktiviti sektor-sektor, bagaimanapun tiada secara spesifik menyatakan langkah yang perlu diambil untuk menjana kembali pendapatan negara.
“Apabila pemulihan ekonomi negara berlaku, maka secara automatik ekonomi rakyat akan pulih.
“Jadi antara faktor yang boleh diketengahkan adalah yang pertamanya, kerajaan perlu satu rancangan satu pelan bagi merancakkan semula sektor-sektor pembuatan, perkhidmatan, perkilangan, pertanian dan sebagainya,” cadangnya.
Terangkum di bawah matlamat itu, isu seterusnya yang dilihat wajib diperbahaskan di dalam Dewan Rakyat apabila Parlimen dibuka semula nanti adalah bagaimana untuk membantu usahawan kecil dan sederhana, serta membawa masuk kembali para pelabur luar.
Mungkin juga katanya perlu diwujudkan satu dasar pelaburan yang konsisten untuk meyakinkan dan melindungi pelabur yang menjalankan urus niaga di negara ini.
Kini Yang di-Pertuan Agong sudahpun memberi perkenan untuk Parlimen kembali bersidang, kerana bagi Salehuddin, Baginda merasakan ada keperluan untuk wakil-wakil rakyat membahaskan langkah-langkah pemulihan kerajaan agar rakyat sedikit selesa.
“Sekarang ini rakyat tak tahu, selain daripada apa yg kerajaan telah pamerkan, mungkin ada pandangan pihak-pihak tertentu yang merasakannya tidak cukup.
“Maka perlukan idea-idea luar daripada pihak pembangkang untuk dicetuskan dalam sidang Parlimen untuk dibahaskan, dan diambil perkara-perkara yang baik untuk tujuan dilaksanakan oleh pihak kerajaan,” ujarnya.
Tonton sesi penuh "Dialog Tiga Penjuru: Formula Pemulihan Negara" bersama hos Dzulfitri Yusop, di sini:
Dialog Tiga Penjuru: Formula pemulihan negara
#Dialog Tiga Penjuru
#Pelan Pemulihan Negara
#Salehuddin Saidin
#pendapatan negara
#Buka Parlimen
#usahawan kecil dan sederhana