Buka Parlimen secepat mungkin atau undur diri - Majlis Presiden PH
Hafizi Rosli
Jun 17, 2021 09:14 MYT
Jun 17, 2021 09:14 MYT
KUALA LUMPUR: Buka Parlimen secepat mungin atau undur diri.
Demikian kenyataan tegas Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang menggesa Perdana Menteri menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah supaya mengadakan sidang Parlimen secepat mungkin.
Dalam kenyataan bersama, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, jelas bahawa Perdana Menteri perlu menjunjung titah dan menasihati Tuanku untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin.
"Amatlah penting Parlimen dibuka semula sekarang agar semak imbang tata kelola dan perjalanan pentadbiran Putrajaya dapat dilakukan dan Ordinan-Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara dapat dibahas.
"Begitu juga, peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat dapat dibincang dan suara rintihan isi hati rakyat dapat didengar dengan jelas," kata tiga pemimpin PH itu.
Mereka juga mendakwa jika Muhyiddin terus berlengah atau beralasan dan melewatkan sidang Parlimen, ia bermakna beliau telah mengetepikan titah Agong.
Beliau juga boleh dianggap sebagai tiada keyakinan untuk mentadbir negara dan seharusnya mengambil tindakan terhormat dengan mengundur diri sebagai Perdana Menteri.
"Sekiranya Perdana Menteri terus berlengah atau memberi alasan untuk melewatkan sidang Parlimen, ia bukan sahaja bermaksud beliau telah mengetepikan pandangan Tuanku itu, malah ia memberi gambaran bahawa Perdana Menteri telah hilang keyakinan untuk terus mentadbir.
"Dan jika Perdana Menteri tetap bertegas enggan menasihati Tuanku segera, beliau harus mengambil tindakan terhormat dengan mengundurkan diri," kata mereka.
Semalam, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dan kerajaan perlu bertindak tegas mempercepat proses vaksinasi agar matlamat imuniti kelompok 80 peratus dicapai seawal mungkin.
Seri Paduka menzahirkan pandangan itu setelah memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar dari agensi-agensi kerajaan.
Pandangan itu dizahirkan Al-Sultan Abdullah selepas berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara semalam.
Katanya Seri Paduka amat menyedari kepentingan peranan Parlimen sebagai satu platform untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak COVID-19.
#Anwar Ibrahim
#Lim Guan Eng
#Mohamad Sabu
#Pakatan Harapan
#Yang di-Pertuan Agong
#Parlimen
#Perdana Menteri
#Putrajaya
#undur diri
#Sidang Parlimen
#Parti Amanah Negara
#DAP
#PKR
#COVID-19
#imuniti kelompok