Buka Parlimen: Ini bukan masa kumpul SD, kekal fokus pulih negara - Faizal Azumu

Israr Khalid
Jun 18, 2021 03:15 MYT
AHMAD FAIZAL: Ketepikan pertelingkahan, kini waktu untuk bersama selesaikan kemelut negara. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pembukaan sidang Parlimen nanti harus digunakan Ahli Parlimen untuk bekerjasama menambah baik pelan pemulihan yang telah dibentang Kerajaan.
Kata Ahli Parlimen Tambun merangkap Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, medan itu tidak lagi boleh menjadi tempat untuk mereka mengejar matlamat peribadi, tetapi perlu kembali kepada tujuan asal menjadi wakil rakyat.
“Kerajaan telah pun ada pelan pemulihan, we stick to the plan, kita kena kerjasama tak kira daripada parti mana dan teruskan usaha untuk perbaiki keadaan.
“Cadangan daripada rakyat dan orang profesional juga daripada Ahli-Ahli Parlimen yang berpengalaman amat diperlukan bagi memastikan kerajaan membuat keputusan yang betul supaya kita dapat keluar daripada kemelut yang sedang kita alami,” katanya.
Jadi beliau berharap supaya ahli politik dapat ketepikan segala pertelingkahan antara mereka untuk merungkai masalah rakyat, bukannya kembali ke Parlimen untuk mengumpul perakuan berkanun (SD) bagi menjatuhkan kerajaan.
“Kita balik semula kepada asas kenapa kita jadi orang politik, kenapa kita jadi Ahli Parlimen adalah untuk memberi perkhidmatan terbaik buat rakyat.
“Saya percaya jika kita semua bertindak sedemikian, insya-Allah, hasrat Yang di-Pertuan Agong dan semua Raja-Raja Melayu untuk mengembalikan kedamaian dalam negara ini, memastikan permasalahan kita dapat diselesai,” kata Ahmad Faizal.
Tonton sesi penuh "Dialog Tiga Penjuru: Formula Pemulihan Negara" bersama hos, Dzulfitri Yusop, di sini:
Dialog Tiga Penjuru: Formula pemulihan negara
#Dialog Tiga Penjuru #Ahmad Faizal Azumu #Yang di-Pertuan Agong #Pembukaan sidang Parlimen #Ahli Parlimen Tambun #Formula Pemulihan Negara