Buka lebih banyak destinasi pelancongan, elak 'perangkap transisi' - Pemain industri
Israr Khalid
Oktober 14, 2021 07:20 MYT
Oktober 14, 2021 07:20 MYT
KUALA LUMPUR: Kita akan kekal berada di dalam perangkap transisi di mana kitaran buka-tutup sektor disebabkan cetusan kluster jangkitan COVID-19 terus berlaku walaupun sektor pelancongan sudah mula dibuka di beberapa lokasi.
Justeru cadang pengasas bersama ARBA Travel, Ammar Roslizar, kerajaan perlu membuka lebih banyak lokasi pelancongan gelembung hijau supaya rakyat tidak tertumpu hanya kepada beberapa destinasi sahaja.
“Bila kerajaan beri kebenaran untuk rentas negeri, akhirnya pelancong akan pilih dua tiga tempat sahaja yang dibenarkan: Langkawi, Pangkor, Melaka, sebagai contoh.
“Kalau pelancong tertumpu kepada dua tiga tempat ini sahaja, maka akan timbul lagi kluster COVID-19 baharu sepertimana yang berlaku di Langkawi baru-baru ini.”
Katanya, dalam kita berhati-hati untuk beralih memasuki fasa endemik, kepelbagaian dan kekayaan pelancongan negara harus dimanfaatkan untuk kembali merancakkan ekonomi pada masa sama tetap dapat menjamin keselamatan para pengunjung.
“Kita perlu lebih ramai orang pergi ke Mersing, ke Kundasang, ke Kuala Terengganu (dan tempat-tempat lain di serata negara.)
“Kalau semata-mata tertumpu kepada beberapa lokasi, orang akan ke sini, ada kluster jangkitan, tutup semula, pergi balik, tutup lagi, dan ini tidak membantu (menghidupkan kembali sektor pelancongan negara.)
Ammar menjadi antara panel jemputan Dialog Tiga Penjuru dihoskan oleh Dzulfitri Yusop pada Khamis. Tonton di sini:
Benarkan lebih banyak destinasi pelancongan gelembung hijau untuk elak perangkap transisi
Dialog Tiga Penjuru: 'Talian hayat cuti-cuti Malaysia'