Buka ladang ketum dalam hutan simpan kekal, 3 lelaki ditahan
Vivi Sumanti
Februari 11, 2021 17:01 MYT
Februari 11, 2021 17:01 MYT
KOTA BHARU: Ratusan pokok ketum ditemui ditanam dalam kawasan seluas satu hektar di Hutan Simpan Kekal Sungai Terah, Gua Musang, baru-baru ini.
Susulan penemuan ladang haram itu, Jabatan Perhutanan Kelantan semalam, menahan tiga lelaki berusia antara 25 hingga 33 tahun kerana menceroboh hutan simpan berkenaan.
Suspek ditahan dalam operasi khas di sebuah rumah usang pada jam 10 pagi, susulan maklumat awam dan risikan yang dibuat jabatan berkenaan dengan dibantu Pasukan Operasi Bersepadu Khazanah.
Pengarah Perhutanan Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah berkata, ketika serbuan dua suspek ditemui berada di rumah berkenaan sedang tidur dan disyaki khayal.
"Kita juga menjumpai selaras senapang buatan sendiri dengan tiga butir peluru hidup dan siasatan awal mendapati, suspek menjalankan aktiviti dilarang iaitu menceroboh hutan dengan tujuan penanaman pokok ketum selain pokok durian dan getah," katanya dalam sidang media di pejabatnya hari ini.
Katanya kedua-dua suspek didapati berada dalam hutan simpan kekal tanpa sebarang kebenaran sah daripada Jabatan Perhutanan Kelantan,.
Beliau berkata, ketika pemeriksaan di rumah itu selesai dilakukan, secara tiba-tiba seorang lagi lelaki yang menunggang motosikal datang ke lokasi berkenaan sebelum ditahan.
"Suspek mendakwa memasuki kawasan berkenaan untuk mencari dua lagi suspek yang sudah ditahan. Ketiga-tiga mereka kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang," katanya.
Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 47(1) dan 81(1) Akta Perhutanan Negara 1984.
#ketum
#hutan simpan
#Kelantan
#durian
#Getah
#Sungai Terah
#Gua Musang
#Jabatan Perhutanan Kelantan
#Pasukan Operasi Bersepadu Khazanah