Buka kapsul masa Wawasan 2020, sampaikan amanat kepada rakyat - Rahim
Astro Awani
Januari 1, 2020 12:12 MYT
Januari 1, 2020 12:12 MYT
Kapsul masa Wawasan 2020 yang pernah ditanam Tun Dr Mahathir Mohamad semasa menjadi Perdana Menteri keempat di Melaka hendaklah dibuka dan amanat tersebut dibacakan kepada generasi hari ini.
Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, perlu bagi pihak berkuasa, kerajaan negeri dan Muzium Melaka mengambil inisiatif tersebut bersama Muzium Negara dan Arkib Negara.
Majlis itu kelak boleh dijadikan seperti sebuah Deklarasi Nasional, kata Pengerusi Yayasan Penggerak Wawasan (YPW) itu yang merupakan bekas Ketua Menteri Melaka.
“Amanat yang hendak disampaikan adalah, kecemerlangan pada masa itu akan dibaca. Ia macam wasiat. Dahulu, masa saya jadi Ketua Menteri Melaka, wasiatnya bahawa amanat dalam kapsul ini hendaklah dibacakan kepada rakyat Malaysia dalam tahun 2020.
“Jadi kalau majlis membaca amanat ini dapat digerakkan seperti satu program patriotisme negara, ia satu sejarah dengan Perdana Menteri keempat dan ketujuh yang sama.
“Saya amat sukacita dan berterima kasih kalau kerajaan negeri dan agensinya seperti Muzium Melaka atau agensi persekutuan seperti Muzium Negara dan Jabatan Warisan dapat merealisasikan impian Dr Mahathir itu,” katanya ketika ditemui di sini, pada Rabu.
Kapsul masa Wawasan 2020 itu kini berada di Kompleks Dataran Pahlawan Melaka.
Khabarnya, terdapat tiga kapsul masa yang ditanam para pemimpin negara 28 tahun dahulu.
Selain kapsul masa Dr Mahathir di bangunan The Mall Kuala Lumpur yang akan dibuka pada 2087, dua lagi dimuatkan mesej Datuk Seri Anwar Ibrahim (pada ketika itu Menteri Pendidikan Malaysia) dan Tun Daim Zainuddin (Menteri Kewangan).
Kedua-duanya ditanam sekitar Bursa Malaysia.
Dr Mahathir juga telah menanam satu lagi kapsul masa di dasar Monumen Millenium di Putrajaya semasa menjawat jawatan Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Rahim yang menjadi Ketua Menteri Melaka dari 1982 sehingga 1994 berkata, pelbagai pemberian replika daripada kerajaan Portugal termasuk meriam, pedang dan tombak yang diterimanya dahulu kini diletakkan di Sudut Melaka di dalam muzium negeri.
Ujarnya, sejarah itu termasuk dua penulisan lama Portugis yang mengisahkan suasana Melaka pada masa ia menakluk negeri itu satu masa dahulu, yang dikatakan sudah hilang.
“Sejarah pada masa kini cuma bergantung kepada Belanda dan Inggeris iaitu selepas 100 tahun Portugis menakluk Melaka.
"Kalau dapat yang asli (semasa zaman Portugal) akan memberi gambaran yang lebih jelas, lebih tepat mengenai kehebatan masyarakat Kesultanan Melayu Melaka pada masa itu yang boleh digambarkan oleh penulisan lama ini.
“Ia kehilangan besar dari segi kebudayaan dan sejarah kita sendiri kerana kehilangan penulisan yang dikatakan lenyap apabila dibawa ke negara ini selepas ada usaha ia untuk dimikrofilemkan di Muzium Negara atau Arkib Negara dahulu,” jelasnya.
Tambahnya, pada masa itu, kerajaan juga dikatakan menghantar dua individu ke Portugal untuk belajar menterjemahkan isi kandungan penulisan berkenaan sebelum ia dikatakan hilang.
“Jadi saya gesa pada tahun baharu ini, kerajaan perlu mencari semula dokumen itu. Walaupun jika perlu diadakan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk mencari siapa sebenarnya yang bertanggungjawab menghilangkan dan langkah mendapatkan semula apa yang sudah diberikan kepada negara,” tegasnya.
Mengulas isu berkaitan, Rahim berkata, pencarian misteri harta karun milik kerajaan Melaka di bangkai kapal milik tentera Portugis, Flor De La Mar perlu diteruskan.
Flor de la Mar, Frol de la mar, atau Flor do Mar (Si Kuntum Laut) adalah kapal milik Portugis yang boleh menjangkau berat sehingga 400 tan.
Kapal ini telah menyertai pelayaran lebih dari 9 tahun di Lautan India sehingga akhirnya dilaporkan karam pada November 1511 bersama harta rampasan dari Melaka.
Tambahnya, usaha pencarian kapal berkenaan perlu dteruskan kerana ia amat bernilai selain menggambarkan keagungan Tamadun Melayu di Nusantara.
Rahim juga berkata, pernah mencadangkan pembinaan sebuah muzium besar di Padang Pahlawan Melaka untuk mempamerkan apa sahaja yang ditemui di dalam kapal berkenaan kepada umum.
Dalam pada itu, Rahim turut berharap kerajaan dapat membincangkan semula usaha pembinaan semula Kota A Famosa seperti yang pernah dicadang Yayasan Gulbankien yang bertapak di Lisbon.
“Ketika saya saya menjadi ketua menteri, yayasan ini bersetuju untuk membina semula tembok-tembok asli Kota A Famosa seperti dahulu dan pembiayaan ini dibuat oleh mereka.
“Namun pada masa itu ada sedikit salah faham tentang pembinaan ini dari segi reka bentuk, persefahaman awal ini tergantung tetapi demi memajukan pelancongan diharap ia dapat dirunding semula.
“Saya berharap isu ini pemdapat perhatian kerajaan Melaka dan Persekutuan demi kemajuan sektor pelancongan,” jelasnya.
Tambahnya, Melaka juga sudah mempunyai perjanjian strategik bandar berkembar dengan Lisbon dengan ciri sama bangunan merah di tepi sungai.
#amanat
#Anwar Ibrahim
#Bursa Malaysia
#India
#Indonesia
#Itali
#kapsul masa
#karam
#Ketua Menteri
#Khazanah
#Kompleks Dataran Pahlawan Melaka
#Mahathir Mohamad
#Melaka
#Melayu
#pelancongan
#Portugal
#Putrajaya
#rakyat
#RCI
#tentera