Buka hati dan minda untuk hayati konsep Majlis Rumah Terbuka - PM

Bernama
Mac 3, 2018 04:43 MYT
Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2018 Peringkat Kebangsaan di Sungai Petani pada Sabtu. - BERNAMA
Konsep Majlis Sambutan Rumah Terbuka yang diamalkan di negara ini akan lebih bermakna sekiranya rakyat turut sama membuka hati dan minda masing-masing, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib berkata, selain mampu menggambarkan masyarakat Malaysia sebagai unik dan istimewa, perkara itu sebenarnya adalah asas dan kunci kepada perpaduan nasional.
"Kalau hati kita terbuka dan minda kita minda yang boleh berfikir dengan rasional, maka tak ada sebab mengapa Malaysia tidak akan terus jadi sebuah negara yang bukan saja bersatu padu tapi kepelbagaian itu akan merupakan satu punca kekuatan negara kita dan bukanlah satu permasalahan," katanya.
Perdana Menteri berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Tahun Baru Cina 2018 Peringkat Kebangsaan di Dataran Amanjaya Mall di sini malam tadi.
Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah; Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Dalam ucapannya di hadapan ribuan hadirin, Najib berkata kepelbagaian kaum yang ada di negara ini bukan menjadi penghalang untuk rakyat saling mengamalkan sikap hormat menghormati dan bantu-membantu, namun ia memerlukan satu 'pengikat' kepada perpaduan tersebut.
"Apa pengikatnya? Malam ini kita dengar Cik Linda Yee (wakil komuniti tempatan) bercakap fasih dalam Bahasa Kebangsaan, itu dia sebenarnya pengikat, fasih dalam Bahasa Kebangsaan... bagi kaum Tiong Hua, fasih dalam Bahasa Kebangsaan, ibunda, atau dialek sendiri dan mungkin fasih dalam Bahasa Inggeris.
"Kalau Melayu tentu sekali bahasa ibunda dan Bahasa Inggeris dan kalau boleh satu lagi bahasa itu lebih baik... tapi Bahasa Kebangsaan pengikat kepada perpaduan nasional," katanya.
Perdana Menteri turut menyindir mereka yang memperlekehkan kononnya Malaysia adalah sebuah negara bankrap, sedangkan pakar meramalkan bahawa ekonomi Malaysia tahun ini akan terus maju ke hadapan.
Katanya, sekiranya benar Malaysia bankrap, mana mungkin kerajaan mampu memberi peruntukan untuk membesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi serta peruntukan RM1 bilion bagi pembinaan loji air di Kedah dalam menyelesaikan masalah bekalan air.
"Kalau kita bankrap nak buat majlis malam ini pun mungkin tak mampu dan malam ini kita cipta rekod Festival Pembuatan Kuih Kapit Teramai dalam sejarah... jadi pembangkang ini banyak auta dari fakta," katanya.
Najib turut mengimbau kembali sewaktu beliau mula-mula datang ke Sungai Petani sekitar tahun 1970an dimana ketika itu tidak ada satu hotel pun di kawasan itu melainkan hanya rest house yang dijadikan tempat perjumpaan.
"Bagaimanapun segalanya berubah setelah Barisan Nasional memerintah," katanya.
Terdahulu, majlis sambutan tersebut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan masyarakat Cina oleh artis Istana Budaya serta pertunjukan memukau tarian singa dari kumpulan Kun Sheng Keng dari Muar, Johor.
Dianjurkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (KPK), program selama tiga hari itu bermula Khamis lalu melibatkan pelbagai acara menarik antaranya Festival Pembuatan Kuih Kapit Teramai yang direkodkan dalam Malaysia Book of Records dengan penyertaan seramai 3,000 orang. -- Bernama
#Chinese New Year #CNY #Najib Razak #open house #rumah terbuka #Sungai Petani #Tahun Baru Cina
;