Bufet tidak dibenarkan di Sabah - Masidi
Eleanor Michelle Patrick
Julai 10, 2021 22:42 MYT
Julai 10, 2021 22:42 MYT
KOTA KINABALU: Hidangan bufet (layan diri) di semua premis restoran termasuk hotel di Sabah adalah tidak dibenarkan.
Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun ia bagi mengawal pergerakan tidak perlu oleh para pelanggan semasa berada dalam restoran.
"Hidangan yang dipesan hendaklah dihantar dan dihidang oleh kakitangan restoran di meja pelanggan.
"Peraturan ini diguna pakai di semua restoran termasuk restoran dalam hotel," katanya dalam kenyataan harian COVID-19 Sabah pada Sabtu.
Masidi yang juga Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19 berkata, keputusan kerajaan negeri membenarkan dine-in di semua restoran, kedai makan dan restoran dalam premis hotel pada 29 Jun lalu adalah masih terpakai bagi tempoh Pelan Pemulihan Negara (Fasa 2).
"Sesuai dengan kenyataan Ketua Menteri Sabah pada hari ini, kebenaran untuk dine-in masih lagi berkuat kuasa," katanya.
Sementara itu, dalam SOP yang dikeluarkan bagi pelaksanaan Fasa 2 PPN bagi seluruh Sabah, waktu operasi bagi restoran serta premis makanan lain adalah dari 6 pagi hingga 9 malam.
"Kedai runcit, kedai serbaneka, pasaraya mini dan pasaraya juga dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam.
"Manakala, stesen minyak termasuk kedai serbaneka di stesen minyak dibenarkan beroperasi dari jam 5 pagi hingga 10 malam," katanya.
Mengulas mengenai kes positif harian Masidi memberitahu sebanyak 251 kes baharu dikesan hari ini.
Tiga daerah yang mencatatkan pertambahan kes tertinggi ialah Kota Kinabalu (82 kes), Beaufort (34 kes) diikuti Kudat (28 kes).