Bufet Ramadan naik harga tapi masih berpatutan
Sinar Harian
Mac 23, 2023 14:45 MYT
Mac 23, 2023 14:45 MYT
SEREMBAN: Meskipun berlaku peningkatan 10 peratus harga hidangan bufet berbuka puasa di kebanyakan hotel di Negeri Sembilan, namun ia masih berpatutan.
Pengerusi Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata, harga bufet yang ditawarkan kebanyakannya antara RM45 sehingga RM65.
"Kenaikan harga barang mentah menyebabkan pengusaha hotel terpaksa naikkan harga bufet.
"Tapi saya rasa ia masih berpatutan kerana kalau kita naik terlalu tinggi pun, orang tak mahu datang berbuka di hotel," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, dengan harga ditawarkan, beliau menjangkakan sambutan berbuka puasa di hotel melalui bufet Ramadan tidak akan terjejas.
Ini kerana katanya, ia hanya berlaku setahun sekali dan kebanyakan yang membuat tempahan berbuka di hotel adalah pihak syarikat, agensi atau pertubuhan yang berhasrat meraikan pekerja atau ahli mereka.
Haziz turut menyangkal persepsi sesetengah individu yang beranggapan berbuka puasa di hotel dengan harga bufet ditawarkan adalah satu pembaziran.
"Ini bukan pembaziran, tapi penghargaan kerana Ramadan itu hanya setahun sekali. Ia pilihan kepada mereka yang mampu.
"Tapi saya nak nasihatkan juga walaupun anda bayar untuk nikmati tanpa had semua hidangan disediakan tetapi janganlah membazir mengambil makanan dalam kuantiti banyak tetapi tidak dihabiskan," katanya.
Dalam pada itu beliau turut menggalakkan hotel-hotel di Negeri Sembilan menawarkan Menu Rahmah Ramadan.
Ujarnya, buat masa ini hanya Hotel Dwarf di Port Dickson saja yang menyediakan menu tersebut iaitu satu set nasi berharga RM5. - Sinar Harian