Budi Madani dibangunkan guna kepakaran dalaman, pegawai kerajaan

Ridauddin Daud
Julai 15, 2024 13:10 MYT
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, tiada khidmat perunding luar digunakan dalam membangunkan sistem tersebut.
KUALA LUMPUR: Sistem Budi Madani dibangunkan menggunakan kepakaran dalaman iaitu oleh pegawai kerajaan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.

Ringkasan AI
  • Sistem Budi Madani dibangunkan oleh pegawai kerajaan tanpa menggunakan khidmat perunding luar, memanfaatkan infrastruktur sedia ada.
  • Sistem ini bertujuan mengumpul maklumat terkini untuk memberi peluang bantuan kepada golongan terkesan, dengan penekanan kepada pemilik kenderaan diesel yang layak, petani kecil, dan pekebun kecil komoditi.
  • Pendaftaran dalam Budi Madani memastikan pemohon memenuhi kriteria untuk menerima bantuan tunai dan maklumat bank yang tepat, dengan maklumat tambahan akan diintegrasikan ke dalam Pangkalan Data Utama (PADU).

Beliau berkata, tiada khidmat perunding luar digunakan dalam membangunkan sistem tersebut.
Menurutnya, tidak wujud sebarang isu menggunakan tender terbuka atau sebaliknya, memandangkan sistem tersebut menggunakan infrastruktur sedia ada.
“Pengumpulan maklumat terkini merupakan usaha berterusan kerajaan untuk memberi peluang kepada mereka yang terkesan, mempunyai saluran daripada kerajaan agar tidak tercicir daripada bantuan kerajaan.
“Penyasaran susid diesel melalui Budi Madani ini akan menggunakan semua pangkalan data sedia ada kerajaan yang berkaitan.
“Walau bagaimanapun, bagi memastikan tiada keciciran, peluang dibuka kepada pemilik kenderaan diesel yang layak, dan golongan sasaran seperti petani kecil dan pekebun kecil komoditi.
“Ini bagi memastikan tiada golongan yang layak tercicir,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, pendaftaran Budi Madani juga adalah bagi memastikan pemohon memberi pengesahan menepati kriteria untuk menerima bantuan tunai dan maklumat bank untuk penyaluran diberikan kepada akaun yang tepat.
Katanya lagi, sebarang maklumat tambahan dalam Budi Madani selepas ini akan diintegrasikan ke dalam Pangkalan Data Utama (PADU).
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Suhaimi Nasir (BN - Libaran) yang bertanya keperluan rakyat mendaftar dalam sistem Budi Madani dan tidak menggunapakai sistem sedia ada iaitu PADU.
#diesel #Lim Hui Ying #PADU #BUDI MADANI