BUDI Madani: Bantuan bermakna untuk ringankan beban

Mohd Zalani Md Atan
Julai 8, 2024 14:10 MYT
Beberapa penerima bantuan BUDI Madani bersama Mohd Fazli Ibrahim, Pengarah BSN Negeri Pahang (kanan), ketika sesi ramah mesra di cawangan bank tersebut di Kuantan.
KUANTAN: Inisiatif Kerajaan menyalurkan bantuan subsidi diesel bersasar menerusi BUDI Madani, dilihat membantu meringankan beban ditanggung rakyat.
Beberapa penerima BUDI Madani di Pahang berkata, bantuan tunai RM2,400 setahun atau RM200 sebulan itu adalah inisiatif berkesan bagi menyalurkan subsidi terus kepada golongan yang berhak mendapat bantuan.
Penerima BUDI Madani bagi kategori BUDI Individu, menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN), Wong Teng Yong, 68, bersetuju dengan inisiatif penyasaran semula subsidi diesel yang bertujuan untuk menyelamatkan negara daripada 'pencuri' yang menyeludup keluar hak rakyat negara ini.
Menurut beliau yang juga seorang bekas chef, tindakan Kerajaan ini adalah tepat untuk memastikan subsidi hanya dinikmati oleh rakyat tempatan yang layak, selain dapat mengatasi penyelewengan dan ketirisan.
"Saya memang gembira dan berterima kasih pada jasa baik Kerajaan kita. Saya sangat senang hati kerana bantuan subsidi ini dapat meringankan perbelanjaan diesel saya. Satu lagi tindakan ini (subsidi bersasar) boleh menyelamatkan (bahan api diesel) negara daripada diseludup ke negara jiran.
"Subsidi kita sepatutnya dinikmati orang kita, bukan oleh orang (warganegara) lain (kerana ia) tidak patut," ujar Wong ketika ditemui di BSN Utama Kuantan.
Bagi peniaga buah-buahan di pasar malam dan gerai tepi jalan, Roshatita Mat Sidek, 36, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan kerana golongan peniaga kecil sepertinya tidak dipinggirkan.
Baginya, nilai bantuan RM200 sebulan tersebut dapat meringankan perbelanjaan keluarga dan ia akan digunakan sepenuhnya untuk menampung perbelanjaan diesel mereka.
"Bantuan ini dapatlah juga meringankan beban. Contohnya, katalah keperluan kita RM500 untuk beli barang dapur, maka kita tidak perlu sekalikan dengan duit minyak kerana kita sudah boleh asingkan siap-siap dengan RM200 itu," katanya.
Roshatita, yang merupakan penerima di bawah kategori BUDI Agri-Komoditi, turut mengajak orang ramai yang layak, untuk segera memohon bantuan BUDI Madani agar tidak ketinggalan.
"Yang mana layak di luar sana, marilah, jangan tunggu. Lama-lama menyesal, tak ada gunanya nanti, baik cuba dulu," katanya.
Sementara itu, Zarhan Ab Razak, 61, seorang pesara yang mengusahakan kebun durian, menzahirkan rasa bersyukur kerana mendapat bantuan tunai BUDI Madani.
Zarhan turut menyeru kepada kawan-kawannya yang layak supaya segera mendaftar untuk mendapatkan bantuan tunai diesel yang merupakan satu bentuk bantuan yang bermanfaat dari kerajaan.
"Syukur Allah tambahkan rezeki untuk membantu kerja-kerja saya, dan kita berterima kasih banyak-banyak, seronok sangat dapat bantuan BUDI Madani ini.
"Saya juga sudah syorkan kepada kawan-kawan yang ada kebun untuk sama-sama dapatkan bantuan tunai BUDI Madani ini kerana bantuan ini akan membantu mereka dalam perbelanjaan (diesel) harian yang sekarang ini seminggu kita dah berbelanja antara RM200 hingga RM300, maknanya kena daftar juga" kata penerima di bawah kategori BUDI Agri-Komoditi ini.
Terdapat tiga kategori penerima bantuan iaitu BUDI MySubsidi Diesel, BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Individu.
Penerima yang layak di bawah kategori BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi, akan menerima RM2,400 setahun atau RM200 sebulan disalurkan terus kepada akaun BSN masing-masing, atau bagi yang tiada akaun bank, boleh mendapatkan bayaran tunai di cawangan BSN.
Untuk mendaftar BUDI Madani, sila layari https://budimadani.gov.my atau hadir di mana-mana cawangan LHDN yang berdekatan.
#BUDI MADANI #subsidi diesel #cara mohon #nilai bantuan
;