Budayakan pemikiran kritis dalam kalangan anak muda - Syed Saddiq
Firdaus Azil
Ogos 31, 2019 14:23 MYT
Ogos 31, 2019 14:23 MYT
Corak pemikiran yang lebih kritis dan terbuka harus diterapkan dalam kalangan anak muda seawal usia mereka, kata Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menurut Ketua Pemuda Pakatan Harapan itu, perkara itu amat penting bagi memastikan galakan sedemikian dilakukan dengan panduan yang betul memandangkan rakyat Malaysia kini begitu mudah mendapat informasi di hujung jari.
“Memang kita tak boleh menyekat sepenuhnya, maklumat akhirnya akan sampai ke anak muda. Tetapi kalau kita dapat pastikan anak muda itu berfikiran kritis dan kita mendidik mereka untuk berfikiran kritis daripada umur yang sangat muda, jangan sekat mereka untuk bincang isu-isu semasa, jangan sekat mereka untuk berfikiran kritis,” katanya lagi.
Syed Saddiq, yang juga Ahli Parlimen Muar berkata demikian dalam satu temu bual eksklusif bersama Astro AWANI sempena Hari Kemerdekaan ke-62, 31 Ogos ini.
Anak muda yang kritikal, kata Ahli Parlimen berusia 26 tahun itu, tidak semestinya akan memberi kesan yang negatif terhadap pembangunan negara.
“The most important thing is to create a generation of critical thinkers, when they are critical thinkers. No matter what information filtration which is you go through, mereka tetap akan ingat kepada negara, nilai-nilai murni yang baik yang mereka dapat membuat keputusan yang terbaik bagi diri mereka dan negara,” katanya lagi.
Syed Saddiq berkata, antara perkara yang boleh dilakukan ialah menyediakan lebih banyak ruang seperti forum intelektual atau ‘speaker’s corner’ bagi memupuk budaya bertanya dan berkongsi pandangan dalam kalangan anak muda.
“Dan juga tanggungjawab kita bersama sebagai masyarakat memastikan agar kita apa kita dapat, di mana kita dapat mencipta budaya ilmu ini, di mana anak muda dapat berfikiran kritis.
“Lihat saja di Astro AWANI sebagai contoh, di mana sekarang dah ada banyak forum-forum intelektual, sesi debat di antara umum, polling-polling yang melibatkan anak muda sekali untuk mengundi,” kata Syed Saddiq.
Jika itu berjaya dilakukan dengan lebih meluas, beliau berkata, akan wujud satu eko-sistem pemikiran kritikal di kalangan anak muda tanpa mengambil kira tahap pendidikan mereka.
BACA: Anak muda akan 'berontak' kalau kerajaan gagal fahami mereka
#Belia
#menteri
#Menteri Belia dan Sukan
#Muar
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#pemikiran kritikal
#rakyat Malaysia
#Syed Saddiq