Budayakan amalan kitar semula dalam kalangan pelajar - Datuk Bandar

Aida Aziz
Ogos 28, 2022 12:30 MYT
Rumaizi hadir pada majlis penyerahan tong sampah kitar semula kepada 10 sekolah rendah sekitar Ipoh, sempena Program Hari Tanpa Kenderaan, di Persiaran Bandaraya, Ipoh, hari ini. - Foto MBI
IPOH: Sebanyak 10 unit tong sampah kitar semula diserahkan kepada 10 buah sekolah rendah terpilih di bandar raya ini bagi mempergiat aktiviti kitar semula dalam kalangan pelajar.
Menurut Datuk Bandar Datuk Rumaizi Baharin, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mahu menjadikan sekolah sebagai contoh serta mewujudkan tanggungjawab bersama dalam menjaga alam sekitar.
Jelasnya, amalan kitar semula perlu dijadikan budaya dalam kalangan warga bandar raya itu bagi meningkatkan kualiti persekitaran supaya sasaran Menuju Ipoh Bersih tercapai.
"Kita tingkatkan tahap kesedaran murid-murid sekolah tentang bahan yang boleh dikitar semula seperti kertas, kaca dan logam yang terdapat di persekitaran sekolah dan rumah, supaya yang 'terbuang menjadi wang'.
"Amalan kitar semula juga boleh mewujudkan ekonomi kitaran atau circular economy yang memberi impak positif dalam usaha pemeliharaan dan pemulihan alam sekitar dalam jangka masa panjang," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Hari Tanpa Kenderaan di Persiaran Bandaraya, di sini, hari ini
Tegas Rumaizi, penyediaan infrastruktur kebersihan oleh MBI semata-mata tidak memadai sekiranya penduduk tidak dilibatkan sama dalam soal pengurusan kitar semula.
Justeru, katanya, penganjuran program diharap dapat mewujudkan jalinan kerjasama di antara semua pihak yang berkepentingan.
"Ia bagi menerapkan nilai-nilai murni alam sekitar selaras dengan dasar kerajaan negeri dengan tema 'Perak Bumi Lestari'.
"Dalam masa sama, ia juga dapat menyemai perasaan cintakan alam sekitar dalam kalangan pelajar," katanya lagi.
Beliau juga berharap program tersebut dapat menjadi platform untuk warga Ipoh membudayakan amalan kitar semula dari peringkat awal.
"Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya, seterusnya melahirkan masyarakat yang menghargai dan mengutamakan keindahan persekitaran," katanya.
Terdahulu pada program Hari Tanpa Kenderaan siri ke-54 itu, lebih 3,000 warga Ipoh mengikuti pelbagai aktiviti menarik disediakan khusus untuk orang ramai.
Antaranya pertandingan mewarna, family fun ride, pertandingan Cosplay dan acara sempena sambutan Hari Kemerdekaan.
Kemuncak acara, seramai 500 orang kanak-kanak dari Persatuan Taska Perak dan Persatuan Tadika Islam Malaysia, diiringi para guru dan ahli keluarga masing-masing, berarak sejauh 500 meter dengan mengibarkan Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-65.
#Majlis Bandaraya Ipoh #Hari Kebangsaan #Jalur Gemilang #Rumaizi Baharin
;