Budaya salah asrama yang 'diviralkan' ke media sosial

Wan Syamsul Amly
November 5, 2014 13:38 MYT
Kes buli: Budaya salah asrama yang 'diviralkan' ke media sosial
Video sekumpulan pelajar yang memukul pelajar lain dan viral di media sosial membongkar gaya hidup salah di asrama yang selama ini dirahsiakan.
Pakar psikoterapi Azman Shah Aziz berkata, ia merupakan budaya sejak zaman dahulu yang dilalui dan diketahui semua orang yang pernah tinggal di asrama.
"Di mata pelajar yang tinggal di asrama, ia budaya yang diterima dan diturunkan oleh 'senior' kepada 'junior'.
"'Junior' belajar dari persekitaran, dari apa yang dialami dan diwarisi selain akan melakukan perkara sama apabila tiba waktunya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azman mengulas isu buli di asrama yang kini viral di media sosial yang menunjukkan sekumpulan pelajar asrama lelaku dipukul oleh pelajar lain.
Ia menjadi semakin 'panas' apabila aksi seorang pelajar yang memakai singlet hitam dilihat terlalu agresif dan bertindak ganas kepada mangsa buli.
Kata Azman lagi, pembuli biasanya mahu rasa berkuasa dan tindakan itu usaha mendapatkan rasa penghormatan daripada pelajar lain.
"Kemungkinan dia kurang jati diri di dalam hidup, jadi tindakan itu dapat mengembalikan rasa berkenaan," jelasnya.
Ujarnya, pihak pengurusan sekolah harus segera mengambil tindakan buang sekolah dan segera menghentikan kes ini daripada menular ke sekolah lain.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Dr Abdul Jalil Hassan turut mengakui budaya buli itu sudah lama ada di asrama.
"Cuma dahulu tidak ada istilah 'upload' dan kecanggihan teknologi yang menunjukkan suasana salah di asrama," jelasnya.
Bagaimanapun kata Dr Abdul Jalil, pelaku itu dilihat mengalami masalah kesihatan mental dan mahu meluahkan emosi melalui perilaku berkenaan.
"Kemungkinan pelajar ini mengalami tekanan di rumah dan mahu perhatian. Dia cuba menguasai orang lain akibat terlalu dikawal dan disekat kebebasan di rumah.
"Mereka ini juga terlalu terdedah dengan pelbagai pengaruh negatif di internet dan cuba melakukannya di alam nyata dengan niat suka-suka," jelasnya.
Pada Rabu, Ketua Polis Dareah Barat Daya, Supritendan Lai Fah Hin menafikan video buli pelajar sekolah yang tersebar luas di laman sosial adalah kes buli membabitkan pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau, Pulau Pinang.
#buli #junior #pelajar #psikologi #pukul #senior #viral
;