Budaya sabotaj perlu dikikis
Khairunnisa Kasnoon
Februari 28, 2013 22:29 MYT
Februari 28, 2013 22:29 MYT
Ahli Parlimen Santubong, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengingatkan semua ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) agar tidak melakukan sebarang tindakan untuk mensabotaj pemimpin sedia ada hanya semata-mata kerana hendak jadi calon dalam pilihan raya umum nanti.
Katanya, tindakan mereka itu bukan saja akan merugikan parti tetapi juga memberi kesan kepada diri mereka sendiri.
"Bersabarlah, tunggulah pucuk pimpinan buat keputusan. Ada masanya nanti, penyandang akan tarik diri. Apabila sampai masanya itu, semua pihak akan sokong mereka,'' katanya.
Wan Junaidi yang menjadi ahli parlimen sejak lima penggal lalu diminta mengulas persiapan BN untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan diadakan tidak lama lagi.
Jelas beliau, sebagai ahli yang setia kepada parti, seseorang itu perlu mematuhi arahan pemimpin dan sekiranya tidak dicalonkan untuk bertanding, mereka perlu ikut sama berjuang bagi memastikan calon yang bertanding menang.
Dalam pada itu, Wan Junaidi, 67 menolak persepsi bahawa calon muda mampu menjamin sokongan rakyat kepada parti.
"Soal muda atau tua itu persepsi, ttidak betul. Kadang-kadang ada yang muda, mereka suka dengan yang muda. Bagaimana dengan pengundi kita yang dulu? Mereka yang sudah berumur merupakan pengundi tegar di kawasan itu. Adakah kita akan sisihkan mereka kerana hendak ambil orang muda?" katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong BN Sarawak, Abdullah Saidol berpandangan, soal usia calon bukan penentu menjadi calon boleh menang.
Beliau juga percaya isu sabotaj tidak timbul di kalangan BN Sarawak dan jika ada pun, ia merupakan kes terpencil yang boleh ditangani.
Sarawak mempunyai 31 kerusi parlimen dan 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pada Pilihan Raya Umum 2008, BN berjaya menguasai 30 kerusi dan tewas satu kerusi kepada DAP.
Sementara pada Pilihan raya negeri 2011, BN menang 55 kerusi sementara Pakatan Rakyat meraih 15 kerusi.