Budaya pentadbiran pendidikan perlu diperbaiki - Hasrizal
Israr Khalid
September 20, 2022 06:15 MYT
September 20, 2022 06:15 MYT
KUALA LUMPUR: Lazimnya, perbincangan tentang menambah baik sistem pendidikan negara berputar sekitar bagaimana kaedah pedagogi atau pengajaran dan pembelajaran (PnP) itu patut dilaksanakan.
Ini khususnya sejak pandemik melanda dua tahun lalu, bagi memastikan kelangsungan dan kerelevanannya seiring perubahan dunia.
Namun, tiba masanya untuk kita mengalih pandangan dan memberi tumpuan kepada usaha memperbetulkan budaya pentadbiran pendidikan, demikian pendapat Pengarah Pendidikan Yayasan Pendidikan Khalifah, Hasrizal Abdul Jamil.
Ini kerana, menurut pengamatan beliau, pendidikan adalah sesuatu yang sistemik dan perubahan tidak boleh dibuat secara tempelan, kerana baginya ia boleh menatijahkan kesan lanjutan yang lebih pelbagai dan merumitkan.
Lantas, menurut penggiat sektor pendidikan ini, pembetulan itu perlu dibuat pada teras yang menggerakkan sistem tersebut, yakni pentadbiran.
“Iaitu, bagaimana Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah mengoperasikan mekanisme-mekanisme di dalamnya yang mempunyai banyak ruang untuk diperbetulkan.”
Beliau yang juga seorang penulis prolifik yang ketika ini bermastautin di Naas, Finland, mengambil contoh pengalamannya di negara itu, yang membuat perubahan drastik dengan melaksanakan dasar desentralisasi, yang kini sudah mula menampakkan hasil lumayan.
Dengan mendesentralisasikan pentadbiran pendidikan, ia mengurangkan penguasaan kawalan daripada kerajaan pusat dan memberikan lebih ruang kepada kerajaan tempatan untuk menentukan keutamaan mereka dan bergerak bebas mengikut apa yang terbaik untuk sekolah, guru dan murid di tempat masing-masing.
Lanjutnya, langkah desentralisasi itu juga dapat mengurangkan kerja-kerja pendokumentasian, penaziran, pemantauan, proses merekod serta mengetengahkan pembuktian yang menjadi beban utama para guru hari ini untuk melaksanakan tanggungjawab hakiki mereka, yakni mengajar, dengan sebaiknya.
“Finland berani untuk mengambil risiko daripada langkah desentralisasi itu, yang menyebabkan guru-guru membuat keputusan dan tindakan yang mungkin tak selari dengan pihak atasan, kerana itu sahaja cara yang boleh memperkasakan guru dengan memberi kepercayaan kepada mereka.
“Jadi, perlu ada langkah yang pintar, bijak dan efisyen untuk memastikan kita tidak mencipta bebanan-bebanan yang tidak perlu,” kata Hasrizal.
Maka, tegas beliau, seandainya agenda membuat perubahan membabitkan lawatan luar oleh pegawai-pegawai kerajaan berkaitan, ia mesti memberi fokus kepada aspek pentadbiran pendidikan di negara-negara maju.
“Bukan lagi hendak mengubah apa yang berlaku di dalam bilik darjah," tambahnya.
Katanya, budaya pentadbiran pendidikan itu sangat kompleks, membabitkan pengalaman dan kepercayaan.
"Di situlah saya fikir ia akan mencabar kemampuan dan komitmen kita untuk benar-benar membuat perubahan atau sebaliknya,” kata beliau dalam program Agenda AWANI malam tadi.