Budaya musyawarah beri ruang, peluang penjawat awam bersuara sampai pandangan

Bernama
Jun 12, 2023 11:08 MYT
Anwar beramah mesra bersama warga Jabatan Perdana Menteri selepas menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga JPM bagi bulan Jun di Puspanitapuri, hari ini. fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Budaya musyawarah penting bagi memberi ruang serta peluang kepada penjawat awam untuk bersuara dalam menyampaikan pandangan ketika merangka hala tuju negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Jun di sini hari ini, Anwar berkata, suara penjawat awam adalah penting bagi menjadikan sesuatu musyawarah lebih bermakna dan berkesan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, mendengar pandangan, banyak membantu beliau untuk membuat keputusan.
"Saya hadir dalam banyak mesyuarat, saya kata mesti ada semangat ini, cuma saya nak lebarkan supaya dalam perbincangan, ketua jabatan dan pegawai yang ada pengkhususan dalam bidang ini harus bersedia memberi pandangan mereka," katanya.
Anwar berkata, konsep MADANI yang diperkenal pada Januari lepas tidak menghalang penjawat awam untuk berbincang dan bersuara, dan budaya berbincang dan bersuara turut terkandung dalam al-Quran.
Menyentuh adab ketika bermusyawarah, Anwar berkata, setiap persoalan atau pertikaian terhadap sesuatu perkara yang telah diputuskan perlu ditangani dengan bijak dan bukan dengan pantas menjatuhkan hukuman.
"Walaupun kadang-kadang pandangan seseorang itu benar atau belum tentu benar, tetapi kepantasan menjatuhkan hukum akan menyebabkan perbincangan tidak akan berlaku," katanya.
Anwar berkata, perbezaan pendapat atau pandangan yang timbul dalam sesuatu musyawarah tidak boleh dijadikan sebagai ruang untuk mencela individu yang berbuat demikian sebaliknya perlu dibincang dengan baik.
-- BERNAMA
#budaya musyawarah #penjawat awam #Malaysia Madani #Anwar Ibrahim
;