Budaya integriti adalah tanggungjawab semua - NCWO

Dania Zainuddin
Mac 9, 2016 12:14 MYT
SHARIFAH :Integriti dipupuk melalui proses sosialisasi budaya apabila individu terdedah kepada pelbagai pengaruh dari keluarga, tempat kerja dan masyarakat. - Foto BERNAMA
Pembudayaan integriti dalam masyarakat memerlukan kerjasama semua pihak, tidak hanya terletak di bahu wanita semata-mata.
Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahbudin menegaskan budaya integriti tidak bersandar kepada mana-mana jantina.
Katanya, secara ringkas, integriti adalah pembawaan, perangai, kebolehpercayaan, kejujuran dan keadilan untuk melakukan perkara yang benar bersandarkan nilai dan prinsip moral dan etika tanpa mengira akibat.
"Integriti dipupuk melalui proses sosialisasi budaya apabila individu terdedah kepada pelbagai pengaruh dari keluarga, tempat kerja dan masyarakat.
"Wanita berperanan dari pelbagai sudut, sebagai ibu, nenek, kakak, saudara; di tempat kerja sebagai pemimpin organisasi atau rakan sekerja. Kita perlu jadi contoh dan mengajar tentang integriti," kata Dr. Sharifah selepas menghadiri program 'Breakfast Talk' anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM)di sini, pada Rabu.
Dalam ucapannya, Dr. Sharifah menekankan pembudayaan integriti perlu dilihat sebagai usaha menyeluruh membangunkan pemimpin beretika bermula dari zaman kanak-kanak dan remaja.
Beliau menegaskan ibu bapa memainkan peranan penting dalam menerapkan budaya integriti kepada anak-anak.
"Ibu bapa perlu menerapkan nilai integriti termasuk kebertanggungjawaban, hormat, keadilan, kebolehpercayaan dan kejujuran.
"Mereka juga boleh mengamalkan budaya terbuka, seperti mengajak berbincang mengenai topik-topik semasa dan sejarah yang memboleh anak-anak memahami istilah ini," kata Dr. Sharifah.
Selain itu, ibu bapa digalakkan untuk memberi respons yang sesuai dan konsisten setiap kali berlaku tingkahlaku yang mencabar integriti.
Dr. Sharifah turut mengulas amalan menipu terutamanya pelajar sekolah yang berada dalam persekitaran yang kompetitif.
"Kajian oleh Perkhidmatan Ujian Pendidikan di Amerika Syarikat menunjukkan 75 peratus pelajar sekolah menengah mengaku pernah menipu.
"Penipuan berlaku dari umur sekolah rendah di mana pelajar melenturkan peraturan untuk memenangi pertandingan sesama mereka," kata Dr. Sharifah.
Beliau menjelaskan, kanak-kanak kecil perlu mengetahui bahawa penipuan adalah salah dan jika tidak diperbetulkan, mereka akan berasa tindakan menipu itu boleh dilakukan dalam keadaan tertentu.
Sehubungan itu, katanya walaupun terdapat pelbagai tekanan dan pengaruh yang mencabar integriti, semua pihak perlu terus berusaha mewujudkan persekitaran yang menghargai kebenaran, kejujuran, keadilan dan nilai-nilai berkaitan integriti.
#Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia #Pembudayaan integriti dalam masyarakat #Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahbudin