Budaya gaya hidup sihat peringkat kanak-kanak penting elak NCD - TPM

Hafiz Marzukhi
Disember 22, 2017 04:37 MYT
Peningkatan NCD memerlukan intervensi di peringkat kanak-kanak supaya pembudayaan gaya hidup sihat dapat dibentuk dari usia muda, kata Ahmad Zahid. - Gambar fail
Dalam usaha menangani trend penghidap penyakit tidak berjangkit yang menunjukkan peningkatan, kerajaan kini memfokuskan kepada pelaksanaan polisi bagi mewujudkan persekitaran hidup sihat dalam masyarakat.
Bagi tujuan itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, 13 polisi ke arah persekitaran hidup sihat telah dibincangkan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Ke Arah Persekitaran Hidup Sihat (JKPHS) hari ini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, trend penghidap penyakit tidak berjangkit atau non-communicable disease (NCD) menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.
Keadaan ini memerlukan intervensi di peringkat kanak-kanak supaya pembudayaan gaya hidup sihat dapat dibentuk dari usia yang muda, katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut.
Mesyuarat JKPHS membincangkan status pelaksanaan setiap daripada 13 polisi bagi tempoh 2018 hingga 2019, kata Ahmad Zahid.
Jawatankuasa itu merupakan satu-satunya Jawatankuasa Kabinet yang bertindak sebagai platform bagi membincangkan dan mengenalpasti tindakan susulan bagi menangani NCD.
Ia ditubuhkan pada 2011 dan dianggotai 13 kementerian.
#Ahmad Zahid Hamidi #gaya hidup sihat #NCD #non-communicable disease #persekitaran hidup sihat