'Budaya 'flex', pamer harta kerana desakan sosial' - Adilah Nordin

Faida Rahim
Mac 11, 2023 06:40 MYT
Pengguna media sosial dinasihati supaya tingkatkan kematangan kawalan kendiri, berfikir baik dan buruk terlebih dahulu sebelum memuat naik perkongsian di media sosial. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kematangan kawalan kendiri adalah kebolehan untuk mengawal tingkah laku, pemikiran dan emosi apabila berhadapan dengan desakan sosial.
Pengarah Pusat Sejahtera Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (SAffAD) Noradilah Md Nordin memaklumkan ini termasuk membabitkan 'budaya flex' di media sosial yang merujuk kepada tingkah-laku suka mempamerkan kemewahan atau harta.
“Berdasarkan tinjauan kajian empirikal sama ada dalam atau luar negara, penggunaan media sosial boleh memberikan impak sama ada positif atau negatif bergantung kepada tahap kematangan pengawalan kendiri individu.
“Oleh kerana ia boleh digunakan tanpa sebarang sekatan malah percuma, maka pengguna bebas untuk menyebarkan dan berkongsi kehidupan di laman media sosial. Jika tahap kematangan pengawalan kendiri pengguna adalah rendah maka terdapat kebarangkalian yang tinggi berlakunya 'budaya flex'.
“Contohnya, kita dapat perhatikan di media sosial seperti Instagram, Tik Tok, Facebook malah di status WhatsaApp pengguna berkongsi percutian mewah, baki akaun bank, beg berjenama, kereta mewah dan lain-lain lagi yang kita tidak tahu sejauh mana kesahihan perkongsian tersebut,” katanya kepada Astro AWANI.
Tambah Adilah, terdapat kajian ahli psikologi mendapati bahawa mereka yang terlibat dalam budaya ini juga dikaitkan dengan keyakinan diri (self-esteem) yang rendah.
Budaya ini dilakukan untuk mendapatkan pengiktirafan dan seterusnya diterima oleh masyarakat walaupun apa yang dipaparkan bukan realiti kehidupan sebenar mereka.
“Sekiranya situasi tersebut tidak diberi perhatian yang sewajarnya, maka akan menjadi satu norma atau kebiasaan di alam maya dan akhirnya akan mempengaruhi nilai sosial masyarakat.
"Antara kebarangkalian nilai sosial yang terkesan termasuklah menggalakkan gaya hidup hedonis atau mewah yang banyak memberi kesan negatif seperti menggalakkan hutang yang tidak diperlukan.
“Sebagai contoh, ada yang sanggup berhutang melebihi kemampuan semata-mata untuk membeli beg berjenama dan kereta mewah bagi memastikan kekal relevan dengan keadaan semasa,” katanya.
Dalam pada itu, pengguna media sosial dinasihatkan perlu tingkatkan kematangan pengawalan kendiri, berfikir baik dan buruk terlebih dahulu sebelum memuat naik sebarang perkongsian di media sosial.
#media sosial #desakan sosial #Dr Noradilah Md Nordin #budaya Flex
;