Budaya dialog antara agama perlu dihidupkan
Aizat Sharif
Januari 16, 2014 10:17 MYT
Januari 16, 2014 10:17 MYT
Budaya dialog antara agama perlu dihidupkan dalam menjamin pemahaman dan amalan hormat-menghormati antara agama di negara ini.
Mufti Negeri Perlis, Datuk Murshid Diraja Dr Juanda Jaya berkata dialog ini juga perlu dijalankan dengan cara dan adab yang paling baik seperti berdialog dengan fakta, data yang betul dan tidak dibuai dengan emosi.
“Dalam soal hubungan antara Islam dan bukan Islam, tidak sepatutnya kita perlu naik dan berbahas dari sudut undang-undang kerana ianya tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya dialog antara agama inilah yang dapat memberi pemahaman agar masing-masing dapat hormat-menghormati,” kata Juanda.
Beliau yang juga Profesor Adjung Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) menambah tiada sesiapa pun di negara ini yang ingin melihat perpecahan dikalangan rakyatnya dan jika orang bukan Islam mahu orang Islam yang diprovokasi ini mengawal emosi dan keadaan mereka, mereka (orang bukan Islam) juga haruslah mengawal pengikut-pengikut mereka dari melakukan provokasi.
“Sepatutnya kita letakkan noktah dalam hal ini melalui platform dialog. Dialog yang dilakukan ini bukanlah untuk saling salah-menyalahkan dengan menyatakan bahawa “agama kami benar, agama kamu salah” tetapi ia juga merangkumi dialog seperti dialog ketamaduan atau dialog dari sudut kebudayaan dan sebagainya,”.
Dialog pula perlulah ada etika-etikanya seperti salam perkenalan, sangka baik dan kehendak untuk menyelesaikan masalah tanpa perlu ada rasa prasangka atau bermegah diri dari orang lain.
“Bagi yang majoriti pula perlulah datang ke dialog untuk dengan rasa mengasihi yang minoriti dan minoriti pula datang dengan rasa menghormati warga majoriti dan ini adalah asas-asas kemanusiaan dimana semua agama memperakuinya dan disebabkan itulah Islam diterima dan tersebar ke seluruh dunia melalui dialog dan perbincangan,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam rancangan Analisis AWANI terbitan Astro AWANI membincangkan mengenai topik “Menyuburkan Dialog Agama”.