Budaya 'asal siap' perlu diubah
Israr Khalid
Oktober 22, 2021 11:04 MYT
Oktober 22, 2021 11:04 MYT
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia seluruhnya harus mengubah budaya melakukan sesuatu kerja itu 'asal siap' dalam apa bidang sekalipun untuk menjadi bangsa yang lebih baik.
Setiap perlakuan itu harus dilakukan dengan penuh rasa tanggungjawab dan dilaksanakan dengan sepenuh hati dan sehabis baik supaya ia benar-benar dapat memberi manfaat kepada segala yang berkait dengannya.
Tabiat buruk itu bukanlah sesuatu yang baharu dalam masyarakat kita, dan Ahli Parlimen Belia, Dr Shatesh Kumar, yang menceritakan sendiri pengalamannya.
“Saya punyai pengalaman bekerja dengan kementerian, kita sekadar menyiapkan dasar atau melancarkan sesuatu dasar untuk memenuhi kehendak kementerian, sekadar untuk KPI lah, janji siap.
“Itu yang menjadikan Malaysia, antaranya ada dasar yang masih tidak mencapai sasarannya sampai sekarang.”
Beliau memberi contoh, dasar satu peratus pekerja orang kurang upaya (OKU) dalam sektor awam, yang sehingga hari ini selepas tiga dekad diperkenalkan, masih berada di takuk 0.4 peratus.
Walhal kata Shatesh, ramai sahaja anak muda OKU yang berjaya mendapatkan sijil pengajian dalam pelbagai bidang dan bersedia untuk berkhidmat dalam sektor awam, seperti mana yang dijanjikan.
Maka tegasnya ini perlu kembali dilihat dengan serius supaya setiap langkah yang dilaksanakan itu tidak menjadi satu pembaziran dan mensia-siakan sumber yang ada.
Dr. Shatesh menyertai dua lagi panel muda dalam Dialog Tiga Penjuru yang dihoskan oleh Dzulfitri Yusop pada Khamis. Tonton di sini:
Budaya 'asal siap' perlu diubah
Dialog Tiga Penjuru: Tolak Pemimpin Munafik