Budaya anti rasuah mungkin jadi subjek teras di sekolah
Teoh El Sen
Januari 22, 2013 14:45 MYT
Januari 22, 2013 14:45 MYT
Kerajaan berhasrat untuk menanam nilai murni "membenci rasuah" di kalangan pelajar sekolah dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ini kerana menurut Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, kementeriannya dan SPRM sebelum ini telah memperkenalkan Sekretariat Pencegahan Rasuah di pusat-pusat latihan guru serta Institut Pendidikan Guru di seluruh negara, dan ia menunjukkan hasil positif.
Bagaimanapun, Puad berkata kerajaan ketika ini masih belum membuat keputusan samada akan menjadikannya satu mata pelajaran teras.
"Rasuah bukan sahaja melibatkan menangkap dan pendakwaan tetapi ia juga mesti dilakukan melalui pendidikan, terutama di peringkat awal. Oleh itu, sekretariat ini adalah satu langkah yang positif dan proaktif," kata Puad.
Ketika ini terdapat 27 sekretariat anti-rasuah yang berpangkalan di pusat-pusat latihan guru di seluruh negara.
Selain itu sekretariat ini akan bekerja rapat dengan SPRM untuk memberi pendedahan kepada bakal guru-guru tentang isu-isu berkaitan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.
Guru-guru yang dilatih akan mengajar nilai-nilai ini kepada pelajar secara berperingkat kemudian.
"Latihan ini akan memberi banyak kesedaran kepada pendidik masa depan kita untuk mengajar anak-anak muda di sekolah," katanya.
"Kerjasama antara Institut Pendidikan Guru Malaysia dan SPRM adalah wadah terbaik untuk memastikan bahawa nilai-nilai seperti membenci rasuah dipupuk dalam generasi muda kita dalam usaha kita untuk mempunyai sebuah negara bebas rasuah."
Puad menjelaskan ketika ini, pelajar sudah diterapkan tentang budaya anti rasuah dalam mata pelajaran seperti Pengajian Islam, Pendidikan Sivik dan Moral.
Ditanya samada ini akan dijadikan subjek wajib untuk pelajar, Puad berkata bahawa pada ketika ini, ia akan hanya diterapkan dalam subjek lain seperti Pendidikan Moral dan Pengajian Islam.
Walau bagaimanapun, Puad tidak menolak kemungkinan akan diadakan perbincangan lanjut untuk menjadikannya sebuah subjek teras.
"Sehingga kini, kita tidak mempunyai satu subjek teras berkaitan rasuah. Belum. Tetapi kita sudah bersedia untuk menerima input mengenai bagaimana kita boleh memperbaikinya," katanya.
Puad berkata bahawa adalah lebih sesuai dan berkesan untuk menyemai nilai-nilai melalui aktiviti ko-kurikulum.
"Jika kita membuat ia menjadi subjek wajib kita perlu mengambil kira kos dan masa. Jika kita menambah satu lagi subjek wajib, maka pelajar mungkin perlu untuk pulang lewat dan semua itu."
Sebelum ini, inisiatif sekreteriat itu telah dilaksanakan di 20 universiti awam sejak 2007.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata bahawa kesannya di universiti adalah positif. Satu kajian impak pada tahun 2011 menunjukkan bahawa kefahaman mengenai rasuah meningkat kepada 80.4% daripada 48.6%.
Sekretariat ini adalah salah satu initiatif NKRA mengenai rasuah di bawah Program Transformasi Kerajaan 2.0.
Program yang hampir sama juga telah dilaksanakan di beberapa negara di rantau ini seperti Singapura, Brunei dan Hong Kong.
#Abu Kassim Mohamed
#Institut Pendidikan Guru
#Puad Zarkashi
#SPR
#Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia