Budaya 'angkat tangan' di sempadan harus dihentikan - Ketua Polis Kedah

Adie Sufian Zulkefli
Jun 24, 2015 00:56 MYT
Zamri (tengah) meminta agar orang ramai segera menghentikan budaya 'angkat tangan' itu demi keselamatan negara. - Foto Bernama
Satu arahan telah dikeluarkan polis agar anggota keselamatan di pintu sempadan Malaysia-Thailand segera menghentikan budaya ‘angkat tangan’ untuk keluar masuk di pintu sempadan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya, yang mengakui kewujudan budaya itu menjelaskan, ia berpunca daripada pengaruh tertentu sehingga membolehkan orang ramai keluar masuk sempadan negara melalui Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bukit Kayu Hitam, tanpa proses dokumentasi.
Menyelar budaya kurang sihat itu, Zamri meminta agar orang ramai segera menghentikan amalan itu demi keselamatan negara.
“Sekarang ini sudah ada arahan khusus supaya kawalan ditetapkan di kawasan sempadan terutama di Pusat Pemeriksaan Kastam dan Imigresen memeriksa setiap kenderaan yang masuk ke Malaysia dan memberhentikan amalan angkat tangan lima jari untuk lepas.
“Kawalan akan diperketatkan bukan hanya pada mercun tetapi juga untuk memeriksa jika terdapat cubaan untuk menyeludup orang ke Malaysia,” Zamri berkata.
Dalam pada itu, Zamri memberitahu, beberapa insiden yang berlaku kebelakangan ini dikhuatiri akan menjejaskan keamanan dan kesejahteraan negara.
Justeru katanya, usaha bersepadu yang melibatkan semua agensi penguatkuasaan perlu diperhebat terutama di kawasan sempadan.
Ia bagi mengelakkan berulangnya kejadian pencerobohan terutamanya di kawasan sempadan negara.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) di IPK Kedah, pada Selasa.
Pada majlis itu, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Hal Ehwal Pesara Bukit Aman, SAC Hashim Ali secara rasminya mengambil alih tugas sebagai Ketua JPJKK bermula Selasa.
Sebelum ini, tugas selaku Ketua JPJKK dipangku oleh ACP Shamsudin Mat.
#angkat tangan #CIQ #keselamatan #Malaysia #polis #sempadan #Thailand #Zamri Yahya