Budak perempuan 2 tahun maut tercekik roti di rumah pengasuh
Sinar Harian
Julai 6, 2019 21:45 MYT
Julai 6, 2019 21:45 MYT
Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut selepas tercekik roti di rumah pengasuhnya Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maaraf berkata, mangsa meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Hospital Selayang tiga hari selepas kejadian.
Menurutnya, seorang pegawai perubatan di wad bertugas di wad Pediatrik High Dependency Unit membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
"Kanak-kanak itu dibawa ke hospital jam 10 pagi dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas tercekik kepingan roti di rumah pengasuh di Apartment Nuri.
"Kepingan roti itu dijumpai semasa proses resucitasi (prosedur pertolongan pesakit kerana kesukaran bernafas) yang berjalan di wad kecemasan," katanya.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia jam 10.39 pagi, Khamis lalu.
"Punca kematian adalah disebabkan Hypoxic Ischaemic Encephalopathy dengan kegagalan organ berfungsi disebabkan kekurangan oksigen dan darah.
"Kes disiasat di bawah Sek 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak terhadap pengasuh," katanya.
#Akta Kanak-Kanak
#Apartment Nuri
#Hospital Selayang
#kanak-kanak dua tahun
#maut tercekik roti
#Polis Daerah Gombak
#rumah pengasuh