Budak maut didera bapa tiri hingga usus terkoyak

Astro Awani
Januari 20, 2019 18:04 MYT
Seorang tukang rumah dihukum penjara 20 tahun atas tuduhan mendera anak tirinya berusia lima tahun sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak terbabit pada Jun 2017.
Seorang tukang rumah dihukum penjara 20 tahun atas tuduhan mendera anak tirinya berusia lima tahun hingga menyebabkan kematian kanak-kanak itu pada Jun 2017.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas tertuduh Rosmanan Abdul Rahman, 41, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat.
Mengikut pertuduhan, Rosmanan didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Muhammad Hairil Amsyar Abdul Rahman, 5.
Kesalahan dilakukan di Felda Tenang, Jerteh, Besut di antara 25 dan 28 Jun 2017.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fadhli Mahmud dan Rohaiza Abd Rahman manakala tertuduh diwakili peguam dari Tetuan Aziz & Co.
Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dibawa tertuduh untuk mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Daerah Besut.
Hasil pemeriksaan mendapati punca kematian mangsa tidak konsisten dengan keterangan suspek yang memberi alasan mangsa cedera akibat terjatuh dari motosikal.
Hasil bedah siasat pihak hospital mengesahkan kematian mangsa berpunca daripada hentakan kuat yang menyebabkan koyakan pada usus kecil.
Mangsa turut mengalami beberapa kesan lebam lama dan baharu di badan.
Mahkamah memerintah hukuman penjara ke atas tertuduh berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 28 Jun 2017.
#Datuk Abdul Wahab Mohamed #dera #Kanak-kanak #Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu #mangsa #Rosmanan Abdul Rahman
;