Budak lima tahun didera dengan kabel brek, antena TV oleh ibu sendiri
Astro Awani
Februari 3, 2016 18:49 MYT
Februari 3, 2016 18:49 MYT
Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun mengalami luka dan lebam teruk di seluruh badan dipercayai akibat didera ibunya yang berada di bawah pengaruh dadah.
Insiden berlaku di Kampung Manis, Bukit Mertajam jam 3 petang hari ini.
Menurut jiran mangsa, A. Parameswary, dia menyedari insiden berkenaan selepas terdengar tangisan kuat dari rumah mangsa.
''Saya dengar budak menjerit dan terus bergegas dengan kakak ke rumah mangsa. Kemudian kami nampak budak itu pakai baju.
''Bila buka baju baru nampak kesan kena pukul dan lebam. Saya dan kakak angkat budak itu yang sedang pengsan dan terus pergi ke balai polis,'' katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Parameswary menambah, mangsa juga bukan pertama kali didera malah dipercayai sudah berkali-kali termasuk dipukul menggunakan kabel brek motosikal dan antena televisyen sejak tiga bulan lalu.
Menurutnya lagi, suspek dan anaknya baru berpindah ke kawasan setinggan itu tiga bulan lalu dan tinggal selang beberapa unit dari rumahnya.
''Saya selalu dengar kanak-kanak menangis tidak kira siang atau malam,'' katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata seorang suspek berusia 41 tahun ditahan sejurus menerima laporan bagi membantu siasatan.
''Ujian air kencing ke atas suspek juga mendapati dia positif dadah,'' katanya.
Mangsa yang mengalami kecederaan di belakang badan, kelopak mata kiri dan longgar dua batang gigi kini dirawat di Hospital Seberang Jaya.
Dalam pada itu, menurut Rusli, Mahkamah Majistret Bukit Mertajam sudah mengeluarkan perintah tahanan reman terhadap suspek selama tiga hari sehingga 5 Februari ini.
Perintah dikeluarkan Majistret Diannee Ningrad Nor Azahar.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a), Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan denda tidak lebih RM20,000 jika sabit kesalahan.
#A. Parameswary
#dipukul dengan kabel brek motosikal
#Kampung Manis
#kanak-kanak didera
#luka dan lebam teruk