Budak lemas dalam tong: Bapa tiri pernah didakwa kes pukul isteri - Polis

Shuhada Abdul Kadir
Februari 4, 2021 12:23 MYT
Dalam kejadian petang Jumaat itu, pihak polis menerima panggilan daripada suspek yang juga bapa tiri mangsa memaklumkan anaknya itu lemas dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter di rumah berkenaan. - Gambar fail
AYER KEROH: Suspek lelaki yang juga bapa tiri kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun yang didakwa lemas dalam tong dan dipercayai didera, dalam kejadian tragis minggu lalu, pernah didakwa di mahkamah atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan kepada isterinya.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali ketika diminta mengesahkan perkara itu memaklumkan suspek pernah didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada 8 September tahun lalu.
“Buat masa ini kita masih lagi sedang melengkapkan kertas siasatan dan terdapat beberapa perkara kita perlu teliti lagi.
“Pihak polis sahkan memang suami dia pernah didakwa di mahkamah tahun lalu kerana memukul isterinya yang juga suspek wanita yang kita tahan berkait kes dera ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini pada Khamis.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan suspek lelaki berusia 38 tahun bersama isterinya direman selama tujuh hari sejak Sabtu lalu selepas dipercayai mendera kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu sehingga meninggal dunia dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, di sini.
BACA: Kanak-kanak lemas dalam tong dipercayai didera, pasangan suami isteri direman
BACA: Budak maut dalam tong air: Ibu kandung pernah terima rawatan psikiatri - Polis
BACA: Kanak-kanak lemas dalam tong dipercayai didera, mungkin sudah lama meninggal dunia - Jiran
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Jumaat itu, pihak polis menerima panggilan daripada suspek yang juga bapa tiri mangsa memaklumkan anaknya itu lemas dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter di rumah berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman mengesahkan terdapat pelbagai kecederaan termasuk luka baru di kesan di bahagian belakang kepala kanak-kanak itu.
Jenazah yang dituntut oleh waris keluarga ibu kandung di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka kemudian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Jasin pada Isnin.
BACA: Dua anak suspek masih ditempatkan di Hospital Melaka
BACA: Kanak-kanak lemas dalam tong selamat dikebumi di Jasin
#lemas dalam tong #kanak-kanak didera #ibu dan bapa tiri direman #Taman Krubong Jaya Melaka #budak didera #polis #Ketua Polis Melaka #Abdul Majid Mohd Ali
;