Budak jatuh eskalator, pemilik premis digalak pasang tanda amaran tambahan - Riot

Bernama
November 3, 2015 20:08 MYT
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) melalui Akta Kilang dan Jentera 1967, menetapkan kelulusan reka bentuk dan sijil perakuan kelayakan (CF) sebelum sesebuah eskalator dipasang. - Gambar Hiasan
Pemilik premis digalakkan memasang tanda amaran tambahan pada eskalator berikutan beberapa kejadian kanak-kanak jatuh daripada eskalator, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.
Beliau berkata selain ibu bapa memantau anak mereka, pengguna juga perlu diberi peringatan mengenai keselamatan ketika menggunakan eskalator dari semasa ke semasa.
Daripada segi undang-undang, katanya Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) melalui Akta Kilang dan Jentera 1967, menetapkan kelulusan reka bentuk dan sijil perakuan kelayakan (CF) sebelum sesebuah eskalator dipasang.
"CF itu hanya sah untuk tempoh 15 bulan dan pemeriksaan ke atas aspek keselamatan akan dilakukan pegawai jabatan untuk pembaharuan sijil bagi tempoh 15 bulan berikutnya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Selain itu, beliau berkata akta berkenaan juga menggariskan tanggungjawab pemilik premis dalam memastikan eskalator sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan.
"Adalah menjadi tanggungjawab pemilik premis melantik firma yang diiktiraf JKKP untuk menjalankan kerja penyelenggaraan eskalator," katanya.
Riot berkata penyelenggaraan penuh ke atas eskalator perlu dijalankan setiap tiga bulan manakala penyelenggaraan rutin dibuat setiap bulan bagi memastikan eskalator beroperasi dengan selamat.
#Akta Kilang dan Jentera 1967 #eskalator #Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan #Richard Riot Jaem
;