Budak hilang selepas balik sekolah, ditemui di pusat beli-belah
Sinar Harian
Julai 23, 2024 19:34 MYT
Julai 23, 2024 19:34 MYT
JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki yang disangkakan hilang selepas didapati tidak menaiki bas sekolah untuk pulang ke rumah ditemui anggota polis di sebuah pusat beli-belah di Tebrau dekat sini, pada petang Selasa.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata kanak-kanak berusia 10 tahun ditemui dalam keadaan selamat pada jam 4.30 petang.
"Murid berkenaan didapati berjalan kaki kira-kira tiga kilometer dari sekolah hingga ke pusat beli-belah berkenaan.
"Anggota polis dari Balai Polis Setia Indah menemui kanak-kanak itu dalam keadaan selamat. Ibunya turut berada bersama dalam pencarian tersebut," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Kehilangan kanak-kanak itu mendapat perhatian ramai apabila hantaran mengenainya tular dan dikongsi di media sosial
Rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) kanak-kanak itu yang memakai pakaian seragam sekolah berwarna putih dan berseluar biru gelap yang dilihat berjalan seorang diri turut disertakan dalam hantaran yang tular itu.
Sebelum ini, negara digemparkan dengan kehilangan seorang kanak-kanak perempuan, Albertine Leo Jia Hui di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri dekat sini, Sabtu lalu.
Pada Selasa, Albertine Leo, dilaporkan ditemui di Batang Kali, Selangor dalam keadaan selamat dengan lima suspek ditahan bagi membantu siasatan kes culik kanak-kanak itu. - Sinar Harian