Budak 9 tahun meraung kesakitan kaki tertusuk tongkat basikal

Adie Sufian Zulkefli
Mei 20, 2022 12:10 MYT
Mangsa meraung menahan kesakitan lebih 35 minit apabila kaki kirinya tertusuk tongkat basikal ketika bermain di rumahnya di Taman Mawar. -Astro AWANI
ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun terpaksa menahan kesakitan lebih 35 minit apabila kaki kirinya tertusuk tongkat basikal ketika bermain di rumahnya di Taman Mawar, dekat sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 7.54 pagi.
“Ketika tiba, kanak-kanak terbabit yang juga pelajar tahun tiga itu sedang meraung dan menangis.
“Mangsa berjaya ditenangkan dengan bantuan anggota keluarga dan anggota bertindak memotong tongkat basikal berkenaan menggunakan alatan khas (rescue tools),” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Menurut Mohamadul Ehsan, bomba terpaksa berhati-hati dan mengambil masa lebih 10 minit untuk memotong besi tongkat basikal itu.
Katanya, sebaik berjaya mangsa diberi rawatan awal oleh Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut.
#budak 9 tahun #Taman Mawar #Mohamadul Ehsan Mohd Zain #tertusuk tongkat basikal
;