Budak 7 tahun dikurung, ditinggal ibu kandung sejak Rabu

Astro Awani
Mac 4, 2019 18:55 MYT
Sepanjang lima hari dikurung, mangsa dilaporkan tinggal sendirian dengan rumah berkunci dari luar serta tidak diberi makan. -Astro AWANI
Tidak berhati perut!
Kanak-kanak berusia tujuh tahun dipercayai dikurung ibu kandungnya di sebuah rumah di Taman Hijrah, di sini sejak Rabu akhirnya diselamatkan malam tadi.
Sepanjang tempoh lima hari dikurung, mangsa dilaporkan tinggal sendirian dengan rumah berkunci dari luar serta tidak diberi makan.
Difahamkan, jiran-jiran berdekatan yang terdengar tangisan mangsa ada memberikan makanan melalui tingkap rumah tersebut sebelum menghubungi polis untuk menyelamatkan kanak-kanak tersebut.
Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd dalam satu kenyataan hari ini berkata kanak-kanak itu diselamatkan jam 9 malam semalam setelah polis terpaksa memecahkan pintu rumah berikutan pintu jeriji di kediaman tersebut berkunci.
Siasatan mendapati kedua ibu bapa mangsa sudah bercerai.
Susulan kejadian, polis menahan wanita dipercayai ibu mangsa bagi membantu siasatan.
Ketika disoal siasat, wanita itu mengaku meninggalkan kanak-kanak itu kerana mengikut teman lelakinya.
Wanita berusia 31 tahun yang bertugas sebagai kontraktor itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.
Kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini untuk rawatan berikutan keadaan mangsa yang lemah.
Difahamkan, mangsa masih menerima rawatan di HTF sebelum diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.
#bawah umur #Hospital Tuanku Fauziah #Jabatan Kebajikan Masyarakat #jkm #Kanak-kanak #kurung #rawatan #Seksyen 31 1 Akta Kanak-Kanak 2001 #siasatan
;