Budak 6 tahun mampu bertutur 17 bahasa
Sinar Harian
Ogos 2, 2024 09:50 MYT
Ogos 2, 2024 09:50 MYT
SHAH ALAM: Video keletah kanak-kanak berusia enam tahun ini mengira dan bertutur dalam pelbagai bahasa bersama datuknya mencuit perhatian netizen.
Video berdurasi 3 minit 48 saat itu mula menjadi tular selepas ianya kali pertama dimuat naik di akaun TikTok @sarmilakrishna87.
Mana tidaknya dalam umur sekecil itu, M Chatriyan sudah mampu mengira dan bertutur bukan dalam satu atau dua bahasa, tetapi 17 bahasa.
Bapanya, M Moganasuntharan, 37, mengakui anak sulong daripada dua beradik itu dalam proses menguasai 17 bahasa antaranya Melayu, Arab, Inggeris, Indonesia, Jepun, Sepanyol, Urdu, Tamil, Korea dan Rusia.
“Memang sejak umur Chatriyan dua tahun, dia telah didedahkan dengan bahan bacaan dan aplikasi mengira dalam pelbagai bahasa.
“Jadi sekarang dia ketagih untuk menulis, mengira dan membaca kerana setiap masa di tangannya mesti ada kertas kosong dan juga pensil,” katanya yang bekerja sebagai akauntan.
Tambahnya lagi, Chatriyan tidak suka bermain dengan peralatan permainan seperti kanak-kanak lain seusianya, sebaliknya dia lebih suka menelaah bahan bacaan dan menulis huruf untuk diingati.
“Kawan rapatnya adalah buku dan alat tulis, memang kami tidak galakkan dia bermain permainan video di telefon bimbit sebaliknya kami dedahkan dengan menonton program pembelajaran seperti ‘Dualinggo ABC’ dan serta menyertai kuiz yang menguji minda,” katanya kepada Sinar Harian.
Mogan mengakui anak lelakinya itu mempunyai daya ingatan yang tinggi hinggakan dia dan isteri perlu merujuk semula setiap perkataan dan suku kata baharu yang dituturkan.
“Apa yang menakjubkan setiap perkataan dan ayat yang hendak dibina Chatriyan menepati bahasa sebenar," ujarnya.
Kini video berkenaan yang turut dikongsi ke sebuah akaun Facebook mendapat 116,000 tanda suka, dengan 14,000 perkongsian dan sudah ditonton 5.1 juta kali sejak dimuat naik 18 Julai lalu. - Sinar Harian