Budak 5 tahun ditemukan bapa terapung dalam kolam ikan
Adie Sufian Zulkefli
Jun 14, 2020 08:56 MYT
Jun 14, 2020 08:56 MYT
Seorang penternak ikan berusia 43 tahun terkejut apabila menemukan anak lelakinya berusia lima tahun terapung dalam kolam di tempat kerjanya.
Kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang di Kampung Telok Sera dekat Padang Serai, Kulim.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Suprintendan Safuan Md Noor, ketika kejadian bapa mangsa yang baru selesai makan tengah hari dimaklumkan oleh seorang lagi anaknya berusia 10 tahun bahawa adiknya telah jatuh ke dalam kolam.
Bapa mangsa kemudiannya bergegas ke tempat kejadian dan ternampak mangsa terapung di dalam kolam ikan berkenaan.
Kata Safuan, bapa mangsa kemudian terjun ke kolam dan mengangkat mangsa ke tebing.
Dia turut melakukan bantuan pernafasan bagaimanapun tiada tindak balas.
Bapa mangsa kemudiannya meminta bantuan rakannya untuk menghantar mangsa ke Hospital Kulim dan disahkan meninggal dunia.
Safuan berkata berdasarkan bedah siasat, mangsa dipercayai lemas dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
#anak berusia 5 tahun
#angkat mangsa ke tebing
#Hospital Kulim
#Kampung Telok Sera
#kolam di tempat kerja
#mati mengejut
#Padang Serai
#penternak ikan
#Safuan Md Noor