Budak 2 tahun hilang di ladang kelapa sawit
Sinar Harian
Jun 1, 2023 19:07 MYT
Jun 1, 2023 19:07 MYT
SANDAKAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dikhuatiri hilang di kawasan ladang kelapa sawit di Kinabatangan sejak lima hari lalu.
Nurain Randi kali terakhir dilihat berada di kawasan kuarters ladang sebelum disedari hilang di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan kanak-kanak itu pada Rabu.
Katanya, seramai tiga anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 77 kilometer dari BBP Kinabatangan.
"Kanak-kanak itu dikatakan telah keluar dari rumahnya dan bermain di bawah pokok berhampiran kawasan rumah.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah memasuki hari ketiga dan pencarian bermula jam 10.45 pagi tadi bersama penduduk kampung sejauh kira-kira satu kilometer dari lokasi kanak-kanak itu dilaporkan hilang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Bagaimanapun Azlan Shah berkata, sehingga kini tiada sebarang petanda kanak-kanak itu ditemui sepanjang SAR dilakukan.
"Pasukan SAR sudah menggunakan kaedah pencarian secara biasa, dari rumah ke rumah yang berhampiran, pencarian di setiap lereng bukit, di kawasan kolam terbuka serta turut menggunakan khidmat jentera pengorek untuk mengorek lubang-lubang yang dikhuatiri mangsa terjatuh ke dalamnya.
"Pagi tadi pasukan SAR berhubung semula dengan ahli keluarga mangsa. Hasil perbincangan bersama agensi yang terlibat, kami telah memutuskan operasi ditamatkan namun pihak keluarga akan melakukan ikhtiar lain untuk terus mencari mangsa," katanya. - Sinar Harian