Budak 12 tahun mangsa culik dicabul, hampir dijual kepada sindiket pelacuran

Sinar Harian
Oktober 17, 2024 17:23 MYT
Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis telah berjaya menahan enam suspek termasuk dua wanita berusia lingkungan 13 hingga 23 tahun. - Gambar fail
SHAH ALAM: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang diculik di Bandar Bukit Tinggi 1, Klang, 8 Oktober lalu, dipercayai menjadi mangsa cabul serta cuba dijual kepada sindiket pelacuran di ibu negara.
Mangsa bagaimanapun berjaya dijumpai kira-kira jam 2.30 petang, 12 Oktober.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis telah berjaya menahan enam suspek termasuk dua wanita berusia lingkungan 13 hingga 23 tahun.
Katanya, siasatan mendapati ketika kejadian mangsa menaiki sebuah kereta bersama empat suspek termasuk seorang wanita yang dikenalinya.
Katanya, kanak-kanak itu kemudian dibawa ke sebuah pangsapuri di Setia Alam, Shah Alam.
"Sepanjang tempoh empat hari itu, mangsa dipercayai dicabul secara seksual oleh dua suspek berusia 13 dan 23 tahun di rumah sewa berkenaan.
"Selain itu, salah seorang suspek juga mahu menjual mangsa kepada sindiket pelacuran di Chow Kit, Kuala Lumpur. Namun, cubaan itu gagal selepas suspek melihat hebahan polis mengenai kehilangan mangsa," katanya kepada pemberita selepas majlis pelupusan barang kes narkotik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Khamis.
Beliau berkata, mangsa kemudian dihantar pulang sendirian oleh suspek ke rumahnya menaiki kenderaan e-hailing pada 12 Oktober.
Katanya, siasatan lanjut dipercayai mangsa turut dikhayalkan suspek menggunakan rokok elektronik (vape).
"Mangsa juga dipercayai turut didera namun tidak ketara," ujarnya.
Kata beliau, kesemua suspek kini masih direman enam hari untuk siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan akan disambung selepas tempoh itu tamat.
Tambah Hussein, dua lagi suspek dipercayai terlibat sindiket pelacuran juga sedang diburu bagi membantu siasatan kes tersebut.
Sinar Harian sebelum ini laporan kehilangan kanak-kanak itu dibuat ibu mangsa pada jam 8.59 malam, 8 Oktober.
Siasatan polis menerusi penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis sekitar lokasi kejadian mendapati mangsa berjalan kaki sebelum menaiki sebuah kereta Perodua Myvi. - Sinar Harian
#kes culik #sindiket pelacuran #Kanak-kanak #Malaysia #terkini
;