Budak 11 tahun cedera dipercayai didera ibu tiri
Dewi Nur Harasha Alias
Februari 9, 2020 03:12 MYT
Februari 9, 2020 03:12 MYT
Seorang kanak kanak perempuan berusia 11 tahun cedera teruk di bahagian mata dan muka dipercayai didera ibu tirinya dalam kejadian di Flat Ampang Jajar, Permatang Pauh, petang Ahad.
Menurut Presiden Malaysian Tamilar Kural, David Marshel, kanak-kanak itu berjaya diselamatkan selepas pihaknya menerima laporan daripada penduduk di perumahan berkenaan yang curiga mendengar tangisan budak itu sejak seminggu lalu.
Penduduk mengesyaki kanak-kanak itu dipukul selepas sering mendengar dia selalu dimarahi oleh ibu tirinya.
David berkata dia dan rakan bersama anggota polis ke rumah berkenaan bagi membuat pemeriksaan.
Menurutnya, kanak-kanak malang itu disembunyikan di belakang pintu dan kelihatan ketakutan serta trauma selain terdapat kesan kecederaan serius di muka sehingga kedua-dua belah matanya tidak boleh dibuka.
Beliau berkata kanak-kanak itu cuba menyembunyikan kecederaannya dan memberitahu dia disengat serangga.
Bagaimanapun selepas didesak kanak-kanak itu mengakui dipukul ibu tirinya.
Dia kemudian dibawa ke Balai Polis Seberang Jaya untuk membuat laporan sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya bagi menjalani pemeriksaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan mengesahkan kejadian.
Katanya, pasangan suami isteri itu ditahan untuk siasatan lanjut.
#David Marshel
#didera ibu tiri
#Flat Ampang Jajar
#kanak-kanak didera
#kanak-kanak dipukul
#Nik Ros Azhan
#Presiden Malaysian Tamilar Kural