Bubur pedas, juadah tradisi meriahkan Ramadan di Sarawak
Astro Awani
Mac 29, 2024 17:00 MYT
Mac 29, 2024 17:00 MYT
SETIAP kali Ramadan, juadah bubur lambuk pasti menjadi 'fenomena' di Semenanjung, sejak sekian lama.
Selain mudah didapati di bazar Ramadan, banyak pihak termasuk masjid, persatuan penduduk dan pemimpin masyarakat menganjurkan program gotong-royong memasak bubur lambuk untuk diedarkan kepada orang ramai secara percuma.
Di Sarawak, juadah seakan sama iaitu bubur pedas, adalah yang ditunggu-tunggu masyarakat pelbagai kaum dan agama terutama orang Islam yang menyambut Ramadan.
Bubur pedas biasanya mengandungi banyak rempah dan sayur-sayuran seperti cendawan hitam atau cendawan Cina, cendawan butang, tauhu kering, sayur midin, putik jagung, umbut nanas, kacang panjang, daun kunyit, daun sengkel dan terus yang dihiris halus.
Ramuan lain yang menjadikan bubur pedas itu lebih lazat adalah potongan halus daging ayam atau daging lembu, sedikit kulit lembu yang bulunya sudah dibakar, tendon dan udang kering.
Anak jati Sarawak, Huzaifah Hamdan, berkata kehadiran pelbagai jenis rempah dan sayuran dalam makanan tradisional Sarawak itu, membezakannya dengan bubur lambuk yang terkenal di Semenanjung.
Katanya, bubur pedas menjadi sebahagian daripada juadah penting untuk berbuka puasa.
"Juadah ini bukan sahaja disukai orang Islam untuk berbuka puasa, kerana kaum lain turut menggemari rasanya yang unik.
"Di bazar Ramadan, kita boleh lihat kaum lain seperti Iban dan Cina juga membeli bubur pedas. Malah, jika ada pihak mengedarkan bubur lambuk, kaum lain juga turut bersama-sama mengambilnya," katanya.
Huzaifah berkata, bubur pedas boleh dikatakan hanya muncul pada Ramadan kerana sukar ditemui pada waktu lain.
Malah katanya, juadah itu amat sukar ditemui di Semenanjung Malaysia, tidak seperti makanan tradisional Sarawak yang lain seperti laksa Sarawak dan mi kolok.
"Ramai rakan-rakan saya yang bekerja di Semenanjung terpaksa memasak sendiri bubur pedas jika teringin untuk memakannya kerana tidak banyak kedai atau restoran menjualnya.
"Jika mereka balik ke Sarawak, bubur pedas adalah antara juadah utama yang mereka cari," katanya.