Bubur lambuk kambing kembali diedar di Masjid India Muslim Ipoh
Bernama
April 14, 2021 17:39 MYT
April 14, 2021 17:39 MYT
IPOH: Masjid India Muslim Ipoh yang berusia kira-kira 100 tahun di sini kembali meneruskan tradisi mengedarkan bubur lambuk kambing kepada masyarakat setempat pada bulan Ramadan selepas aktiviti itu tidak dibenarkan tahun lepas susulan penularan pandemik COVID-19.
Pembuat bubur lambuk, Mustafha Kamal Varusai Mohamad, 75, berkata pihaknya mula menyiapkan bahan masakan seawal 8 pagi untuk memastikan lapan periuk bubur lambuk selesai dimasak pada waktu Zuhur.
"Bagi mereka yang mahu mendapatkan bubur kambing ini, pihak masjid akan mengagihkan bubur mulai jam 4 petang dan pengunjung perlu membawa bekas makanan sendiri," katanya ketika ditemui pemberita di masjid berkenaan hari ini.
Katanya ia merupakan tradisi yang diamalkan oleh satu-satunya masjid yang popular dengan juadah bubur lambuk kambing setiap kali bulan Ramadan di Ipoh sejak 80 tahun lepas.
Menurut Mustafha Kamal Varusai, beliau menggunakan 16 jenis rempah ratus untuk menjadikan bubur yang dimasaknya kekal enak dah sentiasa menjadi pilihan orang ramai.
Katanya bagi setiap periuk, beliau memasukkan tiga kilogram kambing bersama bahan lain seperti ketumbar, pudina dan daun pandan.
-- BERNAMA
#masjid india muslim
#Ipoh
#tradisi
#mengedarkan bubur lambuk
#bubur lambuk kambing
#Ramadan
#disambung
#meneruskan
#COVID-19