Bubur kanji, air halia Masjid Pulau Timbul tarikan sepanjang Ramadan
Adie Sufian Zulkefli
Mac 31, 2024 12:00 MYT
Mac 31, 2024 12:00 MYT
KUBANG PASU: Kalau di tempat lain ia dipanggil bubur lambuk tapi kalau hampa mai Kedah depa panggil ‘buboq kanji’.
Keistimewaan resipi berusia 200 tahun dalam penyediaan air halia dan bubur kanji di Masjid Kampung Pulau Timbul, menyebabkan juadah warisan itu terus menjadi rebutan ramai pada setiap kali Ramadan.
Malah, ia dianggap mempunyai tarikan tersendiri kerana dimasak menggunakan kawah dan periuk tembaga yang dikatakan dibawa pedagang India ke kampung itu kira-kira dua abad lalu.
Bagaimanapun selari peredaran zaman, kayu api tidak lagi digunakan dalam penyediaan dua juadah itu, sebaliknya ditukar kepada dapur gas demi menjaga kebersihan persekitaran masjid.
Setiausaha Masjid Kampung Pulau Timbul, Abdul Razak Omar, 71, berkata ketika kayu api masih digunakan untuk memasak sebelum ini, pihaknya berdepan masalah asap tebal memasuki ruang solat dan menyebabkan tapak kaki jemaah menjadi hitam.
Justeru pada tahun lalu, jawatankuasa masjid membuat keputusan untuk mula memasak bubur lambuk dan air halia menggunakan dapur gas bagi mengelak jelaga melekat di ruang solat masjid ini.
Namun, resipi yang digunakan tetap sama seperti dahulu. Kanji yang dimasak hampir dua jam dan perlu dikacau setiap masa agar tidak melekat atau hangit bagi mengekalkan rasa aslinya.
“Bahan-bahan yang kita masuk bermakna asal dari keturunan kita dulu, pernah ada orang bagi daging dan kita masukkan daging.
“Tetapi kemudian ramai yang datang bagi tahu mahu resipi turun temurun udang kering kerana daging tidak sesuai dengan selera. Selepas itu kami hanya menggunakan udang kering sampai sekarang,” katanya ketika ditemui di Masjid Pulau Timbul.
Timbalan Pengerusi Masjid, Ramli Omar, 78, yang juga tukang masak berkata kedua-dua hidangan itu akan dimasak sebaik selesai solat zohor.
Katanya, mereka akan terus menyediakan bahan masakan bubur lambuk membabitkan 10 kilogram (kg) beras yang boleh menjamu antara 300 hingga 400 orang.
Malah mereka tidak ada masalah kos menyediakan air halia dan bubur kanji ini kerana ada penyumbang khas dan semua kerja terbabit dilakukan secara gotong-royong.
“Keistimewaan dia contoh apabila sampai sahaja di sini bubur dan air halia sudah habis dan akan berasa kecewa kerana tidak boleh rasa pada petang ini.
“Sebab itu kena datang awal kerana ia terhad dan ramai antara pengunjung yang datang dari kampung-kampung berdekatan,” ujarnya.
Sementara itu penduduk Kampung Raja, Shaiful Shamri shauri, 47, berkata setiap kali Ramadan, hidangan bubur kanji dan air halia sentiasa dinantikan ahli keluarganya.
Rasanya memang tiada tandingan dan anak juga sangat menyukai rasa bubur kanji ini.
“Aroma dia tu yang menyebabkan jadi pelengkap menu untuk buka puasa ataupun pelengkap bulan puasa, memang tiap-tiap tahun tertunggu-tunggu buboq kanji dengan air halia ni,” katanya.