Bubblebee didenda RM17,500 gagal bayar caruman Perkeso
Simon Denyer
November 11, 2024 15:33 MYT
November 11, 2024 15:33 MYT
SHAH ALAM: Syarikat Bubblebee Sdn Bhd didenda RM17,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, atas tujuh pertuduhan termasuk tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tahun lalu.
Dua pengarahnya, Shuib atau nama penuh Shahmira Muhamad, 40, dan Koh Choon Guan, 33, yang mewakili syarikat tersebut selaku orang kena saman (OKS) dikenakan hukuman terbabit selepas mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Ameera Mastura Khamis.
Mahkamah memerintahkan mereka dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Selain itu, mahkamah membenarkan syarikat berkenaan membuat bayaran ansuran sebanyak enam kali bagi tunggakan caruman kepada Perkeso.
Mengikut tiga pertuduhan, syarikat itu mengaku bersalah atas tuduhan, sebagai majikan utama kepada seorang lelaki berusia 25 tahun, gagal membayar caruman majikan dan pekerja kepada Perkeso membabitkan bulan Oktober hingga dan Disember 2023 lalu, berjumlah keseluruhan RM97.80.
Ia sebagai mana dikehendaki mengikut Seksyen 6 (1) dan (8) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Peraturan 32, Peraturan-Peraturan Am Keselamatan Sosial Pekarja 1971.
Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, Bubblebee mengaku bersalah gagal membayar caruman keseluruhan RM17.40 untuk lelaki sama untuk tiga bulan yang serupa bagi Sesyen 18 (1) Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) dan Peraturan 9 (1) Peraturan-Peraturan Sistem Insurans Pekerjaan (Pendaftaran dan Caruman) 2017.
Semua perbuatan itu dilakukan di syarikat berkenaan di Taman Industri Alam Perdana, Taman Putra Perdana Puchong di sini pada jam 8.30 pagi setiap tarikh 16 hari bulan untuk November 2023 hingga Januari lalu.
Bagi pertuduhan ketujuh, syarikat berkenaan didakwa gagal mematuhi saman bawah Seksyen 110 (1) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 di Pejabat Perkeso Selangor, pada jam 11 pagi, 10 Januari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 110 (2) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pertama hingga keenam, OKS didenda keseluruhan sebanyak RM15,000 manakala RM2,500 bagi kes ketujuh.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Perkeso Selangor, Nurul Atikah Che Sarif manakala OKS tidak diwakili peguam. - Sinar Harian