Bubar Parlimen: Istana Negara nafi Perdana Menteri menghadap Agong hari ini

Astro Awani
Oktober 3, 2022 11:50 MYT
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin turut mengesahkan bahawa laporan tersebut adalah palsu - Foto fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Istana Negara menafikan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menghadap yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.
Sumber Istana Negara memberitahu Astro AWANI, pihaknya tidak menerima sebarang makluman berhubung sesi sembah menghadap bagi memohon pembubaran Parlimen, seperti yang didakwa.
Sementara itu, memetik laporan Free Malaysia Today, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin turut mengesahkan laporan tersebut adalah palsu.
Tegas Ahmad Fadil, Al-Sultan Abdullah ketika ini masih berada di Singapura.
BACA: MKT UMNO mahu Parlimen dibubarkan tahun ini - Ahmad Maslan
Terdahulu, media memetik blogger, Datuk Zaharin Mohd Yasin yang mendakwa Ismail Sabri akan ke Istana Negara bagi menghantar surat meminta pembubaran Parlimen diadakan segera.
Menurut laporan itu lagi, Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO akan diiringi oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bagi mewakili Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Jumaat lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mencapai ketetapan bahawa pembubaran Parlimen perlu dilakukan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan tahun ini.
Ahmad Maslan berkata, berdasarkan keputusan itu, Perdana Menteri akan mempersembahkan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertua Agong selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.
#pembubaran Parlimen #tarikh PRU15 #Ismail Sabri menghadap Agong #Istana Negara nafi
;