Buaya tersesat di Pulau Gaya berjaya ditangkap

Sinar Harian
Jun 12, 2021 06:29 MYT
Buaya dipercayai tersesat di perairan Pulau Gaya, Kota Kinabalu, berjaya ditangkap penduduk kampung. - Foto Sinar Harian
KOTA KINABALU: Seekor buaya sepanjang empat meter dipercayai tersesat berhampiran perairan Pulau Gaya, di sini, berjaya ditangkap penduduk kampung pada petang Sabtu.
Kehadiran reptilia itu disedari oleh penduduk Kampung Pondo, seawal jam 8 pagi sebelum rakaman video tular di media sosial mengenai penduduk kampung berusaha menangkap buaya terbabit.
Ketua Kampung Pulau Gaya, Rajit Serong, 60, berkata, penduduk kampung silih ganti mengekori buaya itu dengan menggunakan bot.
"Buaya itu berlegar-legar berhampiran pantai Kampung Lobong dan kelihatan jelas ketika air laut surut.
"Kami terus memasang jerat menggunakan tali sebelum berjaya menangkapnya kira-kira jam 5.30 petang tadi," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Tambahnya, mereka terus menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan bantuan.
"Ini kali pertama mereka menangkap haiwan ganas itu sejak tinggal di pulau berkenaan.
"Tujuan kami menangkapnya kerana bimbang keselamatan penduduk di pulau ini terutama kanak-kanak dan nelayan," katanya.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian. Buaya tersesat di Pulau Gaya berjaya ditangkap
#buaya #Pulau Gaya #sesat #Kampung Pondo
;