Buaya tembaga dihantar ke kawasan konservasi di Paya Indah Wetlands - Perhilitan

Bernama
April 17, 2024 20:45 MYT
Buaya yang diselamatkan itu dipercayai datang dari Sungai Muar dan mencari makanan di sekitar perairan Pantai Siring. - Bernama
MELAKA: Buaya tembaga yang berjaya diselamatkan nelayan di Pantai Siring tengah hari tadi dihantar ke kawasan konservasi reptilia itu di Paya Indah Wetland, Selangor.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka Petra Sulai berkata reptilia dianggarkan seberat lebih satu tan dan berukuran 4.5 meter itu dikenal pasti buaya jantan.
"Buaya yang diselamatkan ini dipercayai datang dari Sungai Muar dan mencari makanan di sekitar perairan Pantai Siring yang merupakan kawasan rayau bagi spesies buaya tembaga tersebut.
"Dapatan Perhilitan juga menunjukkan ada aduan berkenaan kehadiran haiwan ini di kawasan perairan Melaka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut Petra berkata buaya tembaga itu merupakan tangkap kali pertama jabatan itu tahun ini dan Perhilitan turut berjaya menangkap spesies sama di kawasan Pantai Siring pada 2019 dan 2021.
"Sekiranya spesies itu didapati membawa ancaman dan gangguan, orang awam diminta agar tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain.
"Orang awam disarankan untuk terus menghubungi Perhilitan Melaka di talian 06-2345610 atau 011-62721059 (Melaka Tengah), 013-4122589 (Jasin) dan 018-3502835 (Alor Gajah)," katanya.
Terdahulu seekor buaya tembaga dianggarkan seberat lebih satu tan berjaya ditangkap sekumpulan nelayan ketika berkeliaran di Pantai Siring di sini kira-kira pukul 12 tengahari tadi.
-- BERNAMA
#Perhilitan #buaya tembaga #Paya Indah Wetlands #konservasi
;