Buaya lebih 4 meter gemparkan penduduk
Rudi Affendi Khalik
September 3, 2017 10:11 MYT
September 3, 2017 10:11 MYT
Penduduk di bandar ini gempar pagi tadi apabila seekor buaya berukuran lebih 4 meter (15 kaki) naik ke darat dan merayap di permukaan jalan kerana dipercayai mencari makanan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang, Tawang Linggem berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian tersebut sekitar jam 7.36 pagi dan sebuah jentera serta kenderaan utiliti dikejarkan ke lokasi iaitu berhadapan premis West Lake Tyre berdekatan kawasan perindustrian Limbang.
Menurut Linggem, apabila tiba di lokasi, pasukannya mendapati reptilia tersebut merangkak di atas jalan dan kelihatan berada dalam keadaan tidak selesa.
" Melihat keadaannya yang agak agresif, pasukan mengambil masa sekitar 30 minit untuk memerangkap buaya ini sebelum mengikat dan menutup mata serta mulutnya.
Buaya itu kini ditempatkan di Balai Bomba dan Penyelamat Limbang sebelum diserahkan kepada pihak yang bertanggungjawab.
Ini merupakan kejadian pertama buaya naik ke kawasan awam di lokasi tersebut.