'Buaya Klebang' seberat 400kg akhirnya ditangkap

Sinar Harian
Disember 19, 2024 12:45 MYT
Petra Sulai (tiga, kiri) bersama anggota Perhilitan yang berjaya menangkap buaya tembaga dianggarkan seberat 400kg.
MELAKA: Buaya tembaga yang menimbulkan kerisauan penduduk di Klebang sejak beberapa bulan lalu akhirnya berjaya ditangkap anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Sungai Malim, Pulau Gadong sini pada malam Rabu.

Ringkasan AI
  • Penangkapan Buaya Besar: Seekor buaya tembaga jantan seberat 400 kg dan sepanjang 430 cm yang meresahkan penduduk di Sungai Malim, Pulau Gadong, berjaya ditangkap oleh Perhilitan setelah operasi selama enam jam.
  • Operasi Berjaya: Penangkapan dilakukan menggunakan kaedah tanjur, dibantu anggota berpengalaman lebih 30 tahun, dan menjadi reptilia terbesar ditangkap Perhilitan pada tahun 2024.
  • Risiko kepada Penduduk: Kehadiran lima ekor buaya di kawasan tersebut sebelum ini menimbulkan kebimbangan, termasuk insiden kambing penduduk dibaham, dengan kerjasama orang ramai terus diharapkan untuk melaporkan kehadiran reptilia di lokasi lain.

Pengarahnya, Petra Sulai berkata, pihaknya mengambil masa lebih dua jam untuk membawa naik reptilia jantan seberat 400 kilogram (kg) dan sepanjang 430 sentimeter (cm) itu ke atas darat.
Menurutnya, operasi tangkapan yang bermula pada jam 6 petang sebelum berakhir pada jam 12 tengah malam menggunakan kaedah tanjur serta dibantu kakitangan yang lebih 30 tahun berpengalaman dalam menangkap buaya.
"Ini merupakan buaya keempat yang ditangkap pada tahun ini di lokasi yang sama dan merupakan reptilia terbesar pernah kita tangkap pada tahun 2024.
"Kita juga sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya ternampak reptilia itu seperti di lokasi kejadian," katanya kepada pemberita di sini, pada Khamis.
Sejak malam Rabu, beberapa video ketika operasi membawa naik buaya ke darat tular di media sosial dan orang ramai yang menyaksikannya memuji kecekapan anggota Perhilitan yang berjaya menangkap reptilia yang dianggap saiz dan panjangnya seperti sebuah van.
Sinar Harian pada 15 Mei lalu melaporkan lebih 2,500 penduduk yang mendiami sepanjang Sungai Malim di sini, termasuk Pulau Gadong melahirkan kebimbangan dengan kehadiran lima ekor buaya di kawasan itu sejak beberapa bulan lalu.
Ia selepas seekor buaya dipercayai membaham kambing betina milik penduduk ketika haiwan itu sedang meragut rumput di tepi sungai berkenaan.
Pada bulan lalu, Perhilitan Melaka juga berjaya menangkap seekor buaya tembaga jantan sepanjang 313 sentimeter (cm) di lokasi sama.
Difahamkan, reptilia seberat 200 kilogram (kg) itu bukanlah buaya yang diburu kerana membaham beberapa ekor kambing di Kampung Tengah, Klebang pada Mei lalu. - Sinar Harian
#buaya Klebang #Perhilitan #Melaka #buaya baham kambing
;