Buaya 12 kaki panjang kejutkan nelayan di Kampung Contoh Bagan Ajam
Astro Awani
September 17, 2021 22:34 MYT
September 17, 2021 22:34 MYT
BUTTERWORTH: Kemunculan seekor buaya sepanjang hampir lima meter tidak jauh dari pantai menggemparkan beberapa nelayan di Kampung Contoh Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang.
Kemunculan buaya berkenaan disedari kira-kira jam 6.30 petang tadi oleh beberapa nelayan yang sedang berehat di tepi pantai.
Menurut Ketua Unit Nelayan Bagan Ajam, Mazlan Abdul, beberapa nelayan bergegas menaiki bot dan cuba menangkap buaya tersebut menggunakan pukat.
Bagaimanapun, difahamkan pukat pertama digunakan nelayan putus berikutan buaya tersebut meronta untuk melepaskan diri.
Susulan itu, nelayan menggunakan beberapa lagi pukat untuk memerangkap buaya tersebut sebelum ditarik ke pantai.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut bergegas ke tempat kejadian sebelum buaya itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Difahamkan, buaya sama pernah muncul sebelum ini di perairan Bagan Ajam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata pihak polis menerima maklumat awam berhubung penemuan buaya berkenaan kira-kira jam 6.45 petang.
Anggota polis dari Pondok Polis Bagan Ajam bergegas ke lokasi dan mendapati buaya berukuran 12 kaki panjang dan berat dianggarkan lebih kurang 500 kilogram telah berjaya dinaikkan ke darat oleh nelayan berdekatan deretan gerai makan di Kampung Contoh.
"Buaya tersebut telah dipindahkan ke Pejabat APM Daerah SPU sementara menunggu Jabatan Perhilitan hadir untuk mengambil tindakan seterusnya," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Noorzainy berkata, setakat ini tiada mana mana pihak tampil membuat laporan polis berhubung penangkapan buaya tersebut.