Buat ujian kendiri COVID-19 sebelum, selepas balik bercuti - Pakar
Bernama
Januari 28, 2022 21:29 MYT
Januari 28, 2022 21:29 MYT
KUALA LUMPUR: Keterujaan orang ramai untuk pulang ke kampung dan bercuti sempena perayaan Tahun Baharu Cina ini, tidak sepatutnya membuatkan mereka alpa tentang kepentingan memastikan tahap kesihatan mereka, ketika negara masih berhadapan pandemik COVID-19.
Malah Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Epidemiologi Datuk Dr Zainal Ariffin Omar mengingatkan orang ramai supaya bersikap jujur, dengan melakukan ujian kendiri sekiranya mengalami gejala COVID-19 sebelum memulakan sebarang perjalanan.
Beliau juga menyarankan agar mereka yang tidak bergejala turut juga berbuat demikian, mengambil kira situasi COVID-19 yang masih menular termasuk gelombang varian Omicron.
"Sekarang ini walaupun kes COVID-19 meningkat tetapi kebanyakannya dalam kategori satu dan dua... apa pun yang penting sebelum balik kampung atau hendak bercuti ke mana-mana, pastikan anda lengkapkan vaksinasi termasuk dos penggalak, pemakaian pelitup muka dan amalkan penjarakan fizikal.
"Selain itu, ujian kendiri juga boleh dilakukan sebelum bergerak ke sesuatu destinasi dan selepas pulang dari tempat berkenaan, terutamanya kawasan berisiko tinggi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Tambahnya adalah lebih baik sekiranya mereka yang bergejala dapat duduk di rumah dan tidak ke mana-mana bagi mengurangkan risiko.
Berkongsi pandangan sama, pakar kesihatan awam (epidemiologi dan biostatistik) dari Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Malina Osman berkata mereka yang akan menerima tetamu juga wajar melakukan ujian kendiri.
"Mereka yang ingin ziarah mak ayah disarankan juga untuk memastikan ibu bapa mereka telah mengambil dos penggalak... ambil juga peluang pembukaan pusat pemberian vaksin secara jumpa terus untuk mendapatkan dos penggalak.
"Selain itu, elakkan aktiviti berkumpul dalam jumlah yang sangat ramai, kerana kita perlu akui kes baharu dalam pola meningkat ketika ini dan ini bukan sahaja dialami negara kita bahkan negara lain," katanya.
Katanya orang ramai masih perlu berhati-hati dan langkah pencegahan awal adalah lebih baik, bagi mengelakkan ledakan kes baharu COVID-19.
PAKAR-PERAYAAN (SOP) 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Kes baharu COVID-19 dalam negara terus meningkat untuk empat hari berturut-turut dengan 5,522 kes dilaporkan hari ini.
Rabu lepas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata gelombang penularan varian Omicron sudah bermula di negara ini dan dijangka menyebabkan jumlah kes COVID-19 meningkat.
Beliau bagaimanapun berkata, ketika ini gelombang jangkitan virus itu terkawal kerana kadar vaksinasi di negara ini adalah tinggi.
-- BERNAMA
#ujian kendiri
#musim perayaan
#bercuti
#Tahun Baharu Cina
#COVID-19
#Dr Zainal Ariffin Omar
#varian omicron